Isnin, 22 Februari 2016

Azeez perlu letak jawatan pengerusi Tabung Haji

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM




SHAH ALAM - Bagi menggelakkan Tabung Haji mendapat campur tangan politik, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa supaya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletakkan jawatannya sebagai pengerusi badan berkenaan.

Menurut Rafizi, pengerusi Tabung Haji tidak sewajarnya dilantik daripada kalangan ahli politik namun, ia harus dipilih menerusi tokoh-tokoh yang terdapat di negara ini.

“Rekod beliau (Azeez) sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan badan berkenaan yang mengundang kontroversi bukanlah baik,”katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Azeez sebelum ini yang meminta pihak-pihak tertentu agar tidak mempolitikkan Tabung Haji serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah.

Rafizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan bahawa sehingga kini, Azeez masih belum menyatakan sebarang angka berhubung persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 16 Mac tahun lalu tentang risiko yang dihadapi oleh Tabung Haji sekiranya terlibat dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, reaksi beliau (Azeez) di dalam Dewan Rakyat ialah dengan menjerit “bohong” sedangkan sebulan kemudiannya beliau sendiri terpaksa mengakui bahawa Tabung Haji telah membeli tanah kerajaan yang dianugerahkan kepada 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda.

“Sebab itu, jika beliau tidak mahu Tabung Haji menjadi tumpuan politik, maka sebaiknya Tabung Haji tidak boleh ada campur tangan politik,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat tiga lagi pendedahan mengenai pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada hari Selasa, Rabu dan Khamis ini.


Tiada ulasan: