Sabtu, 20 Februari 2016

Aspek gaji pekerja perlu diberi perhatian

Pekerja
Gambar Hiasan.


SHAH ALAM - Faktor gaji yang lebih rendah ditawarkan oleh majikan menyebabkan rakyat tempatan khususnya golongan belia tidak berminat dalam sektor kotor, sukar dan berbahaya atau 3D.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, pelaksanaan kadar gaji minimum kepada golongan belia perlu dilaksanakan segera untuk memastikan ia setimpal dengan bidang kerja di sektor separa mahir itu.

“Faktor gaji yang murah ditawarkan oleh majikan-majikan tempatan juga menyebabkan kebanjiran pekerja asing. Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum adalah merupakan satu keperluan yang perlu dilaksanakan segera,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Menurut Marthada, kerajaan juga perlu menghentikan pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan, perkhidmatan serta binaan bagi membolehkan ia diisi oleh warga tempatan.

Katanya, amalan mengutamakan warga tempatan ketika negara sedang berdepan dengan krisis kegawatan ekonomi adalah amalan biasa yang dilakukan oleh banyak negara luar.

"Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain turut prihatin kepada warga tempatan mereka dulu dalam mencipta peluang pekerjaan.

“Bagi saya, tindakan membawa masuk pekerja asing pada ketika negara menghadapi kegawatan ekonomi adalah kurang sesuai memandangkan ramai rakyat pada hari ini terpaksa diberhentikan kerja kesan daripada kegawatan ekonomi ini manakala berpuluh ribu graduan kita yang masih menganggur,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, isu berkaitan gaji minimum perlu berasaskan kepada daya saing setipa syarikat dan keuntungan yang diperoleh.

Shukri berkata, majikan tidak boleh dipaksa untuk memberikan gaji yang tinggi berikutan akan mengakibatkan penurunan kepada daya saing produk serta harga di pasaran akan ditanggung pengguna.
“Kos meningkat akan menyebabkan harga produk juga ditingkatkan di pasaran.

“Kita perlu latih rakyat kita supaya lasak dan bersedia dari awal persekolahan dengan mendedahkan mereka kepada kerja-kerja perladangan dan pembinaan serta industri supaya mereka boleh menerima kehidupan sebagai buruh.

“Apa yang penting adalah gaji yang diperolehi oleh setiap pekerja mampu menampung kehidupan mereka,” katanya.

Tambahnya, antara pendekatan yang boleh diambil bagi menarik minat pekerja tempatan ialah dengan memberikan insentif perumahan atau kenderaan supaya mereka dapat melihat manfaat hasil pekerjaan ini dan akan mengikat mereka dalam industri berkaitan

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kerajaan perlu menangani persepsi rakyat terhadap cadangan bagi kemasukan pekerja warga asing ke negara ini memandangkan jumlah berkenaan adalah terlalu ramai pada pandangan mereka.

“Cuma beberapa isu yang timbul ialah mengenai kandungan Perjanjian Persefahaman (MOU) itu. Adakah wajib kerajaan mengambil 1.5 juta itu dalam masa 3 tahun? Kalau tiada permintaan lagi setelah 2 tahun , adakah kerajaan boleh menghentikan MOU tersebut?” soalnya.


Tiada ulasan: