Sabtu, 20 Februari 2016

Anggota RELA rempuh kereta SPRM ketika cuba lari dari ditahan

MALAYSIAKINI




Bimbang ditahan selepas menerima rasuah, seorang anggota RELA yang menyamar sebagai pegawai Imigresen bertindak merempuh kenderaan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang tadi, suspek lelaki berusia 38 tahun yang menaiki Proton Wira Aeroback itu ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Seremban 2.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata suspek dipercayai telah meminta rasuah sebanyak RM2,000 bagaimanapun telah menerima rasuah sebanyak RM800 daripada seorang peniaga perabot berusia 37 tahun.

"Rasuah itu untuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja pengadu warga Pakistan yang dikatakan menyalahgunakan permit kerja," katanya kepada Bernama semalam.

Katanya, suspek dipercayai telah menerima rasuah sebanyak RM500 semalam dan hari ini sebanyak RM300.

Beliau berkata kes mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
- Bernama


Tiada ulasan: