Sabtu, 20 Februari 2016

Amanah tak mampu tanding PRU14

Hanafiah Mat
Hanafiah


KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas negeri yakin Amanah Terengganu tidak mampu bertanding pada pilihan raya umum akan datang khususnya di negeri ini.

Penolong Setiausahanya, Hanafiah Mat berkata, ini kerana Amanah Terengganu tidak mempunyai ahli di peringkat akar umbi dan jentera bagi menggerakkan kerja-kerja menghadapi persiapan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, persiapan menghadapi pilihan raya bukan sesuatu yang mudah sekiranya sesebuah parti tidak mempunyai ahli di peringkat bawah kerana mereka inilah yang akan turut berkempen meraih undi rakyat.

“Amanah tidak ada ahli di peringkat akar umbi. Kalau mereka mahu lawan jentera Pas, siapa yang akan pasang poster, raih undi. Tiada orang.

“Kita juga tidak yakin ada tiga penjuru di Terengganu khususnya dengan Amanah. Bagi kita Amanah ini angan-angan Mat Jenin. Parti itu bukan hanya tidak diterima tapi tidak mampu tubuh pasukan untuk pilihan raya apatah lagi di Terengganu.

“Kita harap Amanah jangan letak angan-angan yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sehubungan itu, Hanafiah yang merupakan Adun Chukai turut menyarankan ahli-ahli Amanah khususnya bekas pemimpin Pas supaya kembali kepada parti itu.

Jelasnya, penyertaan bekas-bekas ahli Pas dalam Amanah sebelum ini bukan sahaja dilihat tidak memberi kesan kepada Pas, malah tidak menjejaskan sokongan serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“Kita saran kepada Amanah supaya balik ke pangkal jalan. Baliklah kepada Pas. Tiada apa pun boleh buat (untuk lawan Pas),” katanya.


Tiada ulasan: