Sabtu, 20 Februari 2016

Akhirnya kerajaan dengar suara rakyat

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan


SHAH ALAM – Setelah berdepan kritikan daripada masyarakat serta aktivis kumpulan sivil, kerajaan akhirnya mendengar suara rakyat apabila mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan perjanjian persefahaman (MOU) bagi membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh ke negara ini.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, dalam isu ini, kerajaan telah memperlihatkan ketidakcekapan mereka serta kegagalan pihak kementerian terlibat dalam menyediakan dasar pekerja asing yang mapan dan bersesuaian dengan aspirasi rakyat.

 “Namun begitu, hakikatnya dasar yang telah dibuat ini sukar dipertahan dan dijelaskan apabila berdepan kritikan rakyat dan aktivis kumpulan sivil.

“Ini kerana polisi yang dirangka dilihat lebih bersandarkan kepada keuntungan kutipan levi semata-mata dan gagal mengambil kira kesannya secara holistik,” katanya dalam satu kenyataan.

 Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kemasukan pekerja warga asing ke negara ini dari semua negara sumber termasuk Bangladesh akan ditangguhkan sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri.

Sementara itu, Nasrudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh menambah, sejak awal lagi Pas telah mengambil langkah untuk menasihati,  menegur dan membantah kebergantungan negara kepada pekerja asing

Menurut beliau, lambakan warga asing bukan sahaja menjadi malapetaka terhadap sosio ekonomi, bahkan turut mengancam tahap keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Walaupun kemasukan pekerja warga asing ditangguhkan pelaksanaannya, namun rakyat masih perlu berwaspada apakah penangguhan ini sekadar bermaksud meredakan kemarahan masyarakat atau kerajaan benar-benar mula menyedari kesan negatif dengan tahap kebergantungan yang keterlaluan terhadap warga asing,” katanya.

Tambah Nasrudin, Pas bagaimanapun akan terus komited untuk menasihati dan menegur kerajaan agar tidak memperjudikan masa depan rakyat dan negara hanya kerana mengharap keuntungan sementara.

“Komitmen Pas dalam mewujudkan check and balance adalah melibatkan segala isu termasuklah isu membawa masuk warga asing dengan kadar jumlah yang begitu besar.

“Selayaknya keutamaan diberikan kepada rakyat dan negara ke arah melahirkan negara Malaysia yang sejahtera,” katanya.


Tiada ulasan: