Isnin, 8 Februari 2016

Ahmad Bashah hanya MB Umno, bukan rakyat Kedah





DETIK DAILY


Ahli akar umbi Umno rata-rata menyifatkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hanya layak menjadi menteri besar mewakili parti dan bukan keseluruhan rakyat Kedah kerana kemampuan beliau menerajui pentadbiran negeri diragui.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu 2 minggu lalu mengetuai ketua-ketua bahagian mendesak pengunduran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sehingga akhirnya berjaya disingkirkan dengan peletakan jawatan sebagai menteri besar semalam.

Ketua Umno Cawangan Jalan Badlishah Anuar Abdul Hamid agak skeptikal dengan kemampuan Ahmad Bashah dalam memenangi dan meraih sokongan akar umbi, berbeza dengan Mukhriz yang disenangi segenap lapisan masyarakat.


"Daripada peringkat akar umbi, kami sangat skeptikal. Kami tidak ada langsung keyakinan terhadap Ahmad Bashah.

"Saya tidak yakin dia mampu ambil hati akar umbi, orang kampung, kaum wanita dan golongan tua dan muda.

"Ini berbeza dengan Mukhriz yang dilihat menjadi satu tarikan, tak kira tua atau muda, mereka sangat suka dengan beliau," katanya kepada The Malaysian Insider.

Anuar berkata, satu lagi kesukaran bakal dihadapi menteri besar baharu itu ialah dalam menarik sokongan di kalangan anak muda yang bakal menjadi penentu dalam pilihan raya akan datang.

"Kita boleh lihat semasa di stadium tempoh hari, ramai anak muda yang memberikan sokongan kepada beliau.

"Tapi hari ini, saya dapat maklumat, ramai ahli Umno yang muda-muda sudah memotong kad ahli dan meletak dalam Facebook mereka sebagai tanda protes.

"Ini menunjukkan penolakan anak muda terhadap Ahmad Bashah yang jelas rentetan dari apa yang terjadi di Kedah," kata Anuar yang mendapat maklumat daripada penulis blog dalam negeri tersebut.

Menurutnya, zaman Ahmad Bashah sudah berlalu dan dengan kepantasan arus kemodenan, beliau meragui keupayaan bakal menteri besar baharu itu bergerak seiringan.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Bandar Laguna, Zahran Abdullah pula berkata Ahmad Bashah seorang pemimpin yang sudah lapuk dan tidak sesuai dengan cita rasa anak muda sekarang.

"Beliau menjadi menteri besar tetapi beliau tidak dilihat sebagai idola kepada orang muda, sudah lapuk," katanya.

Beliau tidak menafikan Ahmad Bashah merupakan ahli politik berpengalaman di Kedah, namun ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata itu dilihat tidak mempunyai kepimpinan yang layak dicontohi.

"Beliau lebih kepada seorang pengikut yang setia dan bukan seorang pemimpin," tambah Zahran.

Bagaimanapun, seorang veteran parti Ramli Mohd Yunus menyifatkan pengalaman dan kematangan Ahmad Bashah mengemudi parti selepas kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada 2008 dahulu tidak dapat dinafikan boleh dijadikan kayu ukur untuk beliau mempersiapkan parti berdepan pilihan raya umum depan.

"Daripada segi Umno (parti), Ahmad Bashah boleh urus, kerana sudah masak dengan karenah dan budaya dalam Umno.

"Saya ingat, beliau boleh mengurus Umno dan pilihan raya, cuma kita kena beri peluang kepadanya untuk menguruskan pentadbiran negeri terlebih dahulu," kata aktivis dari Pokok Sena itu.

Ramli juga berkata Ahmad Bashah mampu menjadi agen penyatuan dalam parti kerana tahu menjaga "warlord" dan pemimpin sayap.

Ahmad Bashah pada 20 Januari lalu mengepalai beberapa ketua bahagian Umno Kedah menyatakan sudah hilang sokongan kepada Mukhriz dan mahu Najib campur tangan menyelesaikan kemelut politik negeri tersebut.

Kemelut yang berlarutan itu selesai semalam selepas Mukhriz secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar bagi memberi laluan kepada Ahmad Bashah.- themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: