shahbudindorcom
Sehingga
ini tidak ternampak tanda-tanda Tun Mahathir Mohamad mahu mengendur
atau ingin mengalah daripada terus mendesak pengunduran Najib Razak
sebagai Perdana Menteri.
Dalam
catatan terbarunya di blog chedet yang mengulas mengenai ucapan
penggulungan Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, beliau
sekali lagi mencadangkan Perdana Menteri hanya akan dilihat "gentleman"
dan berjiwa besar jika sedia meletakkan jawatannya.
Daripada
isu gagal mentadbir negara, 1MDB, derma RM2,600 juta, kejatuhan
ringgit, masa depan yang lebih baik untuk negara, kemungkinan kalah
dalam PRU 14 dan berbagai lagi, solusinya bagi Tun Mahathir ialah hanya
dengan perletakan jawatan Najib saja.
Barangkali
sudah beratus kali gesaan dan desakan pengunduran Najib dilakukan oleh
Tun Mahathir sejak beliau menarik balik sokongannya lebih setahun yang
lalu.
Berdasarkan
kekentalan jiwa dan semangat melawannya pula, pasti Tun Mahathir akan
terus menekan Najib dengan gesaan meletakkan jawatan itu, tidak kira apa
pun tindakan yang akan dikenakan kepadanya.
Tetapi
di ketika yang sama, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Abu Bakar juga
mengumumkan siasatan terhadap Tun Mahathir berhubung kenyataannya yang
mendakwa pemimpin UMNO mengambil rasuah daripada Najib, sedang
dikemaskini dan akan disiapkan tidak lama lagi.
Kata beliau, pihaknya sekarang sedang berbincang dengan Peguam Negara dan siasatan dijangka siap dalam waktu yang terdekat ini.
Apakah nasib Tun Mahathir dalam kes ini?
Mungkinkah
beliau akan didakwa di mahkamah atas tuduhan fitnah? Apakah apabila
didakwa di mahkamah nanti, Tun Mahathir akan berhenti mendesak
pengunduran Najib atau beliau menjadi semakin agresif lagi?
Makin selamat atau makin bergoyangkah kedudukan Najib selepas tindakan mengheret Tun Mahathir ke mahkamah itu?
Di
sebalik banyak persoalan terus terapung tanpa jawapan jika kerajaan
benar-benar nekad untuk mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir,
kepercayaan umum ialah ia sukar dipisahkan daripada kaitannya dengan
gesaan serta desakan berterusan bekas Perdana Menteri itu yang mahukan
Najib berundur daripada jawatannya.
Adakah
Tun Mahathir akan diambil apa-apa tindakan jika dalam membuat dakwaan
ada pemimpin UMNO mengambil rasuah itu, beliau dalam masa yang sama
masih menyokong dan berdiri teguh mempertahankan Najib?
Daripada
sekian ramai ahli UMNO dan rakyat Malaysia yang meluahkan perasaan
perlunya Najib meletakkan jawatan, kenapa hanya Tun Mahathir dijadikan
sasaran?
Dalam
tulisan terbaru di blognya, Tun Mahathir nyata amat menyedari perkara
itu dengan menulis, "Sekarang Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Dalam Negeri akan berusaha untuk saya disoal lagi oleh polis
kerana ucapan-ucapan dan tulisan saya dalam blog. Di bawah undang-undang
apakah yang saya hendak disoal?
"Menegur
Presiden Parti atau Perdana Menteri bahkan mendesak supaya PM letak
jawatan tidak salah dalam negara demokratik. Kenapa daripada ribuan
rakyat yang meminta Najib undur (sepanduk oleh penonton bolasepak Kedah
VS Selangor yang menyuruh Najib letak jawatan) saya sahaja yang hendak
disoal oleh polis? Prinsip keadilan berkehendakan undang-undang
dikuatkuasakan kepada semua orang tanpa diskriminasi."
Dalam
semua keadaan itu, tidak dinafikan bahawa mengambil tindakan terharap
Tun Mahathir akan membuakkan lagi sokongan dan simpati rakyat
terhadapnya.
Namun,
jika didapati tiada kes pula, ia bukan saja suatu kemenangan kepada Tun
Mahathir, bahkan mungkin lebih bertali arus dan sesiapa saja jadi
tambah berani meminta Najib meletakkan jawatan.
Meletakkan
jawatan demi menyelamatkan parti adalah "gentleman", tetapi di sisi
kelompok yang lain berani bertindak terhadap Tun Mahathir juga adalah
sikap "gentleman".
Yang
selebihnya mungkin mengatakan tidak menggunakan undang-undang dan
berlawan secara politik dengan Tun Mahathir turut memperlihatkan sikap
"gentleman" Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan