Isnin, 7 Disember 2015

Wanita Umno sokong Najib kekal presiden'


Shahrizat Abdul Jalil
Shahrizat Abdul Jalil
 
 
KUALA LUMPUR -‎ Sokongan penuh kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak antara usul politik yang akan dibawa Wanita Umno dalam Perhimpunan Agung Umno bermula lusa  hingga 12 Disember ini.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sokongan itu penting kerana Presiden merupakan sumber kekuatan Umno.

"Untuk usul Wanita, kita ada usul politik, ekonomi, pendidikan dan agama. Bagi usul politik, kita nak maklumkan dengan jelas dan nyata bahawa Wanita Umno sokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

"Sokongan Wanita kepada Najib tidak berganjak, tetap teguh. Wanita sebagai tulang belakang mesti tentukan bahawa kekuatan Umno mesti dipertahankan dan kekuatan itu datang dan bermula daripada Presiden," katanya dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Wanita Umno, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pemecatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman pada 24 November lalu, Shahrizat berkata, beliau akur  dengan keputusan tersebut.

"Itu keputusan yang dibuat Ahli Majlis Tertinggi dalam mesyuarat. Kita dalam parti ada perlembagaan, undang-undang dan peraturan.

"Saya selaku ketua wanita terima keputusan yang dibuat itu," katanya.


Tiada ulasan: