Jumaat, 25 Disember 2015

Tetap pertahan kerusi, walaupun terbuka berbincang dengan PKR, PAN - PAS Sarawak

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Meskipun terbuka untuk berbincang bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, PAS tetap bertegas untuk meletakkan calonnya di kerusi-kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini.
 
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata demikian mengulas kesediaan PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) untuk berunding dengan PAS, bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.
 
Menurut Jofri lagi, pertikaian berhubung pembahagian kerusi itu hanya melibatkan beberapa kawasan sahaja.
 
"Jika mereka bersedia untuk berunding dengan kita (PAS), kita boleh. 
 
"Namun kita tetap dengan keputusan supaya tempat yang kita bertanding dahulu tidak akan diserahkan kepada parti lain, (walaupun) kita terbuka dengan rundingan. 
 
"Kerusi yang ada pertindihan hanya di beberapa kawasan sahaja. Jadi tiada masalah untuk dibawa berunding kerusi-kerusi itu," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Jofri baru-baru ini mengumumkan bahawa PAS Sarawak akan bertanding lebih dari sepuluh kerusi DUN pada PRN ke-11 akan datang.
 
Antara kerusi yang bakal ditandingi PAS dalam PRN itu termasuklah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa, Dudong dan beberapa kerusi lagi yang sedang dipertimbangkan.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata PH tidak akan menghalang PAS untuk turut meletakkan calon, namun perbincangan perlu diadakan selepas PAS tidak lagi sebahagian daripada pakatan pembangkang.
 
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli juga senada dalam hal itu sambil menambah, PAS perlu mengakui bahawa tidak mudah untuk parti itu menang di Sarawak.
 
Malah Ahli Parlimen Pandan itu berkata, apa sahaja keputusan perlu mengambil kira pandangan parti gabungan di dalam Pakatan Harapan.
 
Untuk rekod, pada PRN yang lalu, PAS gagal memenangi semua kerusi DUN yang ditandinginya iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.
 
Sementara itu ketika ditanya sama ada hal perebutan kerusi memberi kelebihan kepada PAS untuk menang pada PRN kali ini, Jofri menyatakan keyakinannya dengan merujuk jumlah sokongan pada pilihan raya yang lalu.
 
"Di Betong Baro (dalam kawasan Kuching), kita ada majoriti dalam 300 undi (PRN lalu). Kita rasa insya-Allah, jika kita bekerja keras lagi, tidak mustahil untuk menang di kerusi-kerusi kita bertanding dahulu," tegasnya.
 
 

Tiada ulasan: