Rabu, 9 Disember 2015

Terserah kepada kebijaksanaan Najib untuk putus tindakan terhadap Muhyiddin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak semestinya mempunyai perkiraan tersendiri dalam menentukan tindakan yang bakal diambil terhadap Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti tidak bertujuan bertindak kejam terhadap pemimpin kedua tertinggi tersebut, sebaliknya melihat kepada kesan baik dan buruk yang bakal diterima parti kelak.
 
"Itu adalah merupakan tatacara dan etika yg ada dalam perlembagaan Umno dan kertas siasatan telah dipersiapkann oleh ibu pejabat, jika ada aspek dikemukakan oleh orang yg berkenaan melanggar perlembagaan parti peraturan dan tata etika.
 
"Saya tidak fikir ianya perlu digopoh-gapahkan dari segi tindakan dan sistem kebijaksanaan yang ada pada presiden parti menjadi keutamaan.
 
Walaubagaimanapun kami mendengar suara akar umbi dan para perwakilan dan kita akan menyerahkan keputusan yang akan dibuat waktu bila sekalipun Presiden untuk menentukannya.
 
"Bukan kerana kami mahu supaya tindakan itu dilakukan tetapi kami merasakan beberapa perkiraan harus diberikan keutamaan, agar sekali air bah sekali pantai berubah. 
 
"Maka dalam keadaan itu kebersamaan dan kekitaan bahawa ianya seperti ikatan pada kayu-kayu yang menjadi rakit," demikian menurut Ahmad Zahid ketika mengadakan sidang media, tengah hari tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
 
Ahmad Zahid menyentuh kelantangan Muhyiddin yang mencetuskan kontroversi apabila mendesak Najib 'rehat seketika' daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri bagi membolehkan siasatan telus dijalankan berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika berucap di Kelab Sultan Sulaiman, malam Isnin lalu. 
 
Semalam Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ucapan Muhyiddin akan diteliti jawatankuasa khusus parti untuk mengkaji sekiranya wujud perlanggaran daripada aspek perlembagaan parti.
 
Muhyiddin dan Shafie digugurkan daripada Kabinet setelah mereka tidak sehaluan dengan jemaah menteri dalam pengendalian isu 1MDB.
 
Muhyiddin juga pada malam tadi bertindak 'memulaukan' Taklimat Presiden Umno sempena Perhimpunan Agung Umno kali ke-69 (PAU2015).
 
Lebih lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan Najib seorang yang amat terbuka menerima pandangan meskipun tidak senada dengannya.
 
"Kita ada pentas untuk meraikan pendapat dan mengetahui personaliti Presiden parti, beliau tidak pernah menolak sebarang perbezaan pendapat malah beliau adalah pendengar yang baik, beliau mendengar kepada setiap suara," tegasnya lagi.
 
Pandangan berkenaan juga turut dipersetujui oleh seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
 
"Yang penting tadi apa yang sedia ada untuk kita mengeluarkan kritikan jangan sampai ianya keluar daripada saluran yang ada sehingga keluarnya kita daripada saluran itu menjejaskan parti.
 
"Suara-suara sumbang itu jika keluar daripada saluran dan menjejaskan parti, akhirnya nanti parti akan tolak individu yang berkenaan kerana perjuangan dan parti lebih besar dan penting daripada seorang individu dan personaliti sejarah Umno daripada dulu lagi mengingatkan kita perkara ini," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: