Rabu, 9 Disember 2015

Tak boleh paksa rakyat terima saya


Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal


KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Afdal menegaskan bahawa beliau tidak mampu memaksa rakyat untuk menerimanya.

Malah beliau akui bersedia menerima kenyataan sekiranya beliau sudah ditolak oleh rakyat.

"Selagi rakyat mahukan saya, Alhamdulillah saya akan teruskan. Saya tak mahu paksa rakyat...nak minta supaya saya jadi pemimpin mereka.

"Itu bukan pegangan saya dalam berpolitik. Saya beritahu kalau mahu saya jadi pemimpin, saya terima. Jika tidak mahu saya lagi, tolong beritahu saya," katanya pada wawancara khas bersama media sempena Perhimpunan Agung Umno ke 69, hari ini.

Shafie sebelum ini yang menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah digugurkan dari Kabinet dalam rombakan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gara-gara dilihat sering menegur kerajaan.

Menyentuh soal penerimaan rakyat di Semporna, Sabah atas penggugurannya itu, Shafie akui pengundinya marah.

"Mereka marah kerana mereka tahu kita (saya) jenis yang bekerja, berkhidmat untuk rakyat bukan untuk musim pilihan raya saja.

"Dulu saya menteri banyaklah melawat tempat. Sekarang sudah bukan menteri, kerapla balik kampung," katanya tersenyum.

Beliau juga akui tidak pernah menyesal menegur kerajaan dan pimpinan hingga beliau kehilangan jawatan kerana perjuangannya bukan mengejar kedudukan sebaliknya demi parti serta rakyat.


Tiada ulasan: