Rabu, 9 Disember 2015

Shafie: Kami tanya soalan sejak dalam kabinet lagi

Zikri Kamarulzaman


 


Bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal menolak kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin patut membangkitkan isu 1MDB ketika berada di dalam kabinet.

Shafie berkata, beliau dan Muhyiddin sudah membangkitkan banyak persoalan berkaitan perkara itu tetapi tiada jawapan.

Ini, kata naib presiden Umno itu, termasuk bertanya kepada Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy sendiri.

Dalam wawancara bersama beberapa media hari ini, Shafie berkata antara perkara dibangkitkan kepada Arul Kanda isu usaha sama dengan PetroSaudi International dan pembelian harta tanah di Pulau Pinang dan Klang.

Shafie juga berkata beliau sudah bertanya kepada Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanadzlah berkaitan pelaburan RM4 bilion bekas anak syarikat 1MDB, SRC International di Mongolia.

Shafie dan Muhyiddin digugurkan daripada kabinet perdana menteri pada Julai lepas.

Najib malam tadi berkata Muhyiddin sepatutnya boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan 1MDB ketika masih menjadi timbalan perdana menteri.

Dalam wawancara di TV3 sempena perhimpunan agung Umno 2015, Najib menegaskan bahawa Muhyiddin itu dan anggota kabinet telah diberi taklimat berkaitan sebelum ini.

Setelah dibataskan ruang dalam perhimpunan itu, Muhyiddin semalam berucap kepada penyokongnya dalam sebuah majlis khas di ibu negara, yang antaranya terus mensasarkan pentadbiran Najib.

Tiada ulasan: