Rabu, 9 Disember 2015

Sarat mengandung bukan halangan pengerusikan persidangan

MALAYSIAKINI


 


Sarat mengandung lapan bulan bukan halangan kepada Azlieza Azizan, 35, untuk mempengerusikan persidangan Puteri Umno yang berlangsung hari ini sempena perhimpunan agung Umno 2015.

Perhimpunan tahun ini merupakan kali keenam beliau mempengerusikan persidangan sayap Umno dan pertama kali berbadan dua mengendalikan mesyuarat yang berjam-jam lamanya dan hangat dengan isu-isu semasa itu.

"Tiap tahun ramai juga perwakilan yang datang (mengandung), tapi tahun ini itulah cabaran kepada saya sebagai pengerusi tetap," kata Ketua Puteri Tangga Batu, Melaka itu dalam nada berseloroh.

Perasmian persidangan Puteri Umnoyang melibatkan 991 perwakilan akan disempurnakan ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini.

Ditanya persiapannya untuk memastikan para perwakilan yang hadir tetap segar dan bersemangat sepanjang persidangan, Azlieza yang hamil anak ketiga berkata beliau tidak pernah terlepas daripada membuat 'kerja rumah' untuk mengetahui tentang isu semasa.

"Biasanya, aura itu akan datang sendiri sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam dewan persidangan, tapi saya tidak ambil mudah tentang macam mana nak kendalikan persidangan.

"Saya kaji dan cari apa isu yang hangat sekarang sebab tidak mahu perwakilan bosan atau mengantuk, saya kena ikut rentak," katanya yang mempengerusikan persidangan Puteri Umno sejak 2010.

Azlieza berkata antara isu yang mungkin mendapat perhatian perwakilan Puteri Umno pada persidangan kali ini adalah berkaitan kos sara hidup dan pendidikan.- Bernama

Tiada ulasan: