Isnin, 14 Disember 2015

RM15,000 untuk setiap pemain utama Kedah

MALAYSIAKINI


 


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mengumumkan imbuhan RM15,000 untuk setiap pemain utama pasukan bola sepak Kedah yang muncul Naib Juara Piala Malaysia musim ini.

Mukhriz berkata dengan pencapaian luar biasa skuad Helang Merah sehingga berjaya bergelar naib juara, imbuhan itu dianggap sebagai berpatutan biarpun bukan jumlah yang besar.

"Kita tahu skuad Kedah berjuang tanpa imbuhan yang besar selama ini. Namun dengan pencapaian luar biasa ini, melalui perbincangan kita setuju untuk memberi imbuhan ini," katanya kepada pemberita di majlis santapan malam meraikan pasukan Kedah di Istana Negara malam tadi.

Mukhriz berkata bagi pemain lain imbuhan turut diberikan berdasarkan peratusan masa yang mereka luangkan bermain untuk pasukan.

Katanya, misi pasukan itu seterusnya ialah menumpukan pada perlawanan Liga Super musim depan.
"Sekarang ini pasukan akan berehat sehingga Februari ini. Selepas itu tumpuan adalah bagi memantapkan lagi pasukan untuk musim depan," katanya.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah itu.

Kedah mara ke final Piala Malaysia tahun ini berdepan Selangor selepas kali terakhir menjuarai piala itu pada 2008.

Namun Kedah tewas 0-2 kepada Selangor pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis santapan malam meraikan pasukan bola sepak Kedah selaku Naib Juara

Piala Malaysia 2015 di Dewan Serbaguna Istana Negara, malam tadi.

Turut berangkat Tunku Temenggong Kedah Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badli Shah, Tunku Laksamana Kedah Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badli Shah dan Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim dan ahli jemaah pemangku Sultan Kedah.

Sementara itu, Mukhriz ketika berucap berkata walaupun tidak menjulang piala berprestij berkenaan, pasukan Kedah nyata beraksi cemerlang pada musim ini.

"Walaupun hajat selama tujuh tahun untuk kembali menjulang Piala Malaysia masih tidak kesampaian, namun muncul naib juara membuktikan Kedah (berusaha) berhabis-habisan walaupun sebagai pasukan bukan pilihan pada awal musim,"katanya.

Beliau berkata, misi untuk kembali membawa Piala Malaysia ke Kedah seperti kejayaan 2008 tetap akan menjadi agenda utama pasukan 'Helang Merah' itu.

Kerajaan negeri pada masa ini katanya telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tahap dan kualiti bola sepak negeri terus cemerlang.

"Ia termasuk menaiktaraf Stadium Darul Aman demi keselesaan pemain dan penonton.

"Penukaran logo pasukan dari Kenari ke Helang Merah dengan perkenan Tuanku juga menyuntik semangat baharu pemain selain program pembangunan bakat-bakat baharu bola sepak negeri," katanya.
- Bernama


Tiada ulasan: