ARAU,  Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mampu bernafas lega untuk sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan mendatang apabila menerima suntikan RM1 juta bagi persiapan pasukan itu menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2016.


Wang menerusi dana bola sepak negara disalurkan atas persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung PFA yang kembali bersaing di Liga Perdana musim depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata walaupun bantuan itu tidak besar, ia mampu meringankan beban PFA untuk tempoh tiga atau empat bulan ini.

“Bantuan itu akan disalurkan dalam minggu ini, tapi Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman harus mencari tajaan lain untuk mengharungi musim depan.

“Memang diakui perbelanjaan untuk bersaing dalam Liga Perdana memang mahal, sedangkan wang yang diberikan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak seberapa,” katanya yang juga bekas Presiden PFA.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Kembali Ke Sekolah anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Arau di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Arau di sini hari ini.

Shahidan turut mahukan skuad Perlis menjuarai Liga Perdana musim depan bagi memastikan dapat kembali ke saingan utama bola sepak tempatan Liga Super 2017.

“Kita menaruh harapan tinggi kepada pasukan di bawah bimbingan jurulatih Dollah Salleh dan harap mereka dapat kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis dengan kembali beraksi di Liga Super 2017,” katanya.