Ahad, 20 Disember 2015

PAU 2015 berlalu, masalah Umno terus parah



Oleh Roslan SMS


PERHIMPUNAN Agung Umno 2015 baru sahaja melabuhkan tirainya. Umno mengadakan PAUnya kali ini dalam keadaan ia berhadapan dengan dua krisis besar dan ternyata ian tamat tanpa tandatanda krisis berkenaan boleh reda dalam waktu terdekat.

Krisis pertama adalah krisis keyakinan rakyat terhadapnya. Ini ekoran kegagalan Umno sebagai parti tulang belakang kerajaan dalam menyelesaikan beberapa permasalahan kritikal yang menjejaskan penghidupan rakyat.

Rakyat jelata begitu terkesan dengan kenaikkan kos hidup yang mencengkam rumahtangga masing-masing. Harga barangan dan perkhidmatan naik menggila sedangkan upah dan pendapatan tidak banyak berubah.

Pergantungan kerajaan pada GST untuk menampung kelompongan hasil berpunca dari kejatuhan harga minyak mentah dunia telah mencurahkan hasil baharu namun atas kenestapaan rakyat yang terpaksa menderita menanggungnya.

Kegagalan Umno sebagai teraju kerajaan dalam mengemukakan penyelesaian sekurang-kurangnya meringankan beban rakyat telah mengakibatkan rakyat jelata termasuklah orang-orang Melayu mula hilang kepercayaan dan keyakinan pada Umno. Jika selama ini majoriti berdiri teguh di belakang Umno hari ini tidak lagi. PAU 2015 berlalu, masalah Umno terus parah

Menurut satu kajian yang diterbitkan oleh Merdeka Centre hanya 31 peratus pengundi Melayu yang kekal taat berpuas hati pada kerajaan yang diterajui Umno, sedangkan pada Januari tahun lalu tahap keyakinannya berada pada paras 52 peratus.

Jika kajian Merdeka Centre ini boleh dijadikan penanda aras ini bermakna Umno berada dalam situasi yang sangat mencemaskan.

Krisis kedua adalah krisis dalaman yang melanda Umno sejak timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naibnya Dato’ Seri Shafie Apdal memilih untuk mengkritik kepimpinan presidennya, Dato’ Seri Najib Tun Razak secara terbuka.

Isu skandal 1MDB dan penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib dicungkil dan didedahkan secara terbuka sehingga kedua-dua mereka dilucutkan dari jawatan kabinet yang disandang masingmasing.

Serangan kem Muhyiddin ini dibantu pula oleh bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Masing-masing melancarkan serangan bertalu-talu terhadap presiden mereka seakan tahun ini tahun pemilihan buat Umno.

Maka bersengketalah dalaman Umno hinggakan beberapa keputusan “luar biasa” diambil termasuklah menafikan tradisi timbalan presiden merasmikan persidangan sayap-sayap Pemuda, Puteri dan Wanita.

Tidak cukup dengan itu Majlis Tertinggi Umno turut menafikan tradisi timbalan dan naib presiden berucap dalam slot ucapan penangguhan sebelum penggulungan presiden semata-mata kerana mahu menutup mulut Muhyiddin dan Shafie.

Kedua-dua krisis meruncing ini seakan buntu dan tidak mampu diselesaikan Umno.

PAU 2015 yang menghimpunkan kekuatan Umno dari seluruh negara ini dilihat sebagai “platform” yang paling sesuai untuk menangani keduadua krisis ini jangan sampai ia memakan Umno dari dalam. Krisis ini jika dibiarkan berlarutan pasti merebak bagaikan barah menjadi mudarat buat tubuh dan masa depan Umno.

Malangnya PAU 2015 telah datang dan pergi namun kedua krisis ini jangankan menampakkan jalan keluar, malah lebih kacau dan berserabut tampaknya.

Tiada ketetapan dan keputusan yang jitu yang terbit dari PAU 2015 yang boleh menjanjikan kelegaan buat umat Melayu dan rakyat Malaysia dalam mengharungi kos kehidupan mereka yang membebankan itu.

Yang terbit dari mulut presidennya semasa ucapan penggulungannya sekadar menjanjikan potongan harga tambang ERL dan komuter KTM bagi kumpulan sasar tertentu khasnya kanak-kanak sekolah, siswa dan warga emas.

Bukan semua rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan ini.

Bagaimana pula dengan kadar tol, tambang pengangkutan awam lain, harga rumah, harga barangan dan perkhidmatan yang naik yang merata terkena ke atas setiap individu rakyat?

Kalau Umno yang diberikan amanah memegang teraju pemerintahan tidak boleh mengemukakan formula yang efektif dalam meringankan beban rakyat siapa lagi yang boleh? Pastinya pasca PAU ini tahap keyakinan rakyat terhadap Umno bakal menggelongsor turun lagi .

Dalam pada itu krisis dalaman Umno juga tidak berjaya ditamatkan sebaliknya semakin panas membara.

Langkah Najib berjiwa besar, membuka pintu dan jendela hatinya menghulurkan silaturahim kepada Muhyiddin semasa ucapan penggulungannya ternyata tidak disahut. Ramai yang menjangkakan Muhyiddin akan bangkit menuju rostrum dan berpeluk serta berjabat tangan menyahut ucapan Najib ketika itu tetapi tidak.

Setelah tamat berucap dan berjalan menuju ke tempat duduknya Najib berhenti di hadapan Muhyiddin dan seluruh negara dapat saksikan betapa Najiblah yang dahulu mensuakan tangannya, Muhyiddin sekadar manyambut dingin.

Bercakap kepada pemberita di luar Dewan Merdeka, Muhyiddin berkata tidak ada sebab mengapa harus beliau memohon maaf kepada Najib sedangkan beliau tidak pernah melakukan kesalahan.

Melalui perkembangan ini terbukti juga Umno gagal menyelesaikan krisis dalamannya malah ia menjadi semakin parah dan besar kemungkinan selepas ini tindakan lebih drastik akan dikenakan terhadap Muhyiddin dan para penyokongnya.

Umno bakal melihat partinya semakin goncang dan goyah. Begitulah PAU 2015. Dimulakan dengan dua krisis besar yang mencabar dan diakhiri dengan kedua-dua krisis tadi menjadi semakin parah dan mengancam survival Umno.

Dalam pada itu Najib dengan hati yang terbuka telah menghulurkan pula tali silaturrahim dan ikatan ukhuwah pada PAS untuk membina sebuah Malaysia berlandaskan syariat- Nya.

Walau dihantui dengan dua krisis besar di atas, beliau tetap terbuka hati mahu berbaik dengan PAS. Dan Presiden PAS telah memberikan responsnya dalam bentuk nasihat yang sangat berguna buat Umno.

Menyedari betapa tenatnya kedudukan Umno dilanda kedua krisis berkenaan Tuan Guru Presiden PAS menyarankan supaya Umno segera kembali kepada Islam, iaitu mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangannya.

Mampukah Umno merobah haluannya mendakapi Islam dengan seikhlas dan sejujurnya?

PAS tidak pernah menolak sebarang usaha untuk memartabatkan Islam tetapi Umno perlu serius dan bukan sekadar penyedap kata untuk keluar dari krisis yang sedang melanda dirinya.

Ujian sebenar buat Umno adalah menghadapi dan menyelesaikan dua krisis besar tadi dan sementara itu PAS dan rakan poltiknya PKR akan melihat dari jendela masingmasing perkembangan selanjutnya dalam Umno. Buat masa ini pintu PAS tertutup rapat.

Tiada ulasan: