Ahad, 20 Disember 2015

PAS ulangi pendirian, Umno perlu kembali ke landasan Islam

Oleh Shuhaniza Md Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad menegaskan parti itu tetap berpegang dengan pendirian Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kerjasama dengan Umno, iaitu parti Melayu itu perlu kembali kepada landasan Islam dalam mentadbir negara. 
 
"Semua orang nak hulur tangan dengan PAS..Tapi kami saja belum terima lagi.
 
"Indikator Umno ni nampak makin teruk.. Takkan lah kita mahu menanggung masalah dia," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelawaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menghulurkan tali silaturrahim kepada PAS untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.
 
Hadi sebelum ini sebagai maklum balas kepada pelawaan Najib memberitahu, PAS sentiasa bersikap terbuka dan berlapang dada terhadap hasrat perpaduan berteraskan syariat Allah dengan mana-mana pihak, sama ada Islam atau kalangan bukan Islam.  
 
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menambah, masih tiada sebarang perbincangan di peringkat parti mengenai perkara itu buat masa ini.
 
Kelmarin, Antarapos melaporkan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sebagai berkata parti itu sentiasa terbuka untuk mewujudkan perpaduan dengan mana-mana pihak.
 
Ujar Haron, hanya masa akan menentukan dan kerjasama mungkin boleh dijalinkan pada masa akan datang jika tidak dapat dilaksanakan pada masa kini. 
 
Dalam pada itu, Idris secara sinis turut menempelak kenyataan beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang menyifatkan PAS yang gemar berdolak dalih dalam menyatakan pendirian terutamanya isu perpaduan dengan Umno, sehingga menjadi punca tertubuhnya PAN. 
 
"Cuba tanya dia balik, kalau tak kalah (pemilihan PAS), wujud atau tidak PAN. Tanya itu saja," katanya sinis merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin PAN yang 'menuding jari' kepada PAS selepas menyertai parti serpihan itu.
 
Pimpinan PAN kebelakangan ini kerap melancarkan serangan terhadap PAS, antaranya turut mengaitkan parti pimpinan Hadi itu diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), yang didakwa menjadi antara punca penubuhan PAN. 


Tiada ulasan: