Ahad, 27 Disember 2015

Pas gesa DAP tarik balik kenyataan isu visa atlet Israel

Mohd Akmal Kamaruddin
Mohd Akmal Kamaruddin


SHAH ALAM – Pemuda Pas Perak mendesak DAP menarik balik kenyataan berkait isu penafian visa dua atlet luncur angin Israel yang dikatakan telah mengguris perasaan rakyat Malaysia dan segera memohon maaf.

Ketua Dewan Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, menafikan visa Israel suatu perkara yang sangat kecil jika dibandingkan dengan kezaliman yang dilakukan Israel terhadap Palestin.

“DAP sepatutnya perlu lebih peka dengan politik dan hubungan kemanusiaan di luar negara. Tindakan Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zheminn menimbulkan persoalan tentang parti (DAP) yang katanya membawa agenda keadilan dan hak asasi manusia (namun) menyokong Israel yang secara rakus menyerang dan menindas Palestin serta rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Chong Zheminn dilaporkan menyelar keputusan kerajaan menolak visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan yang dijadual menyertai Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (Isaf)di Langkawi, hari ini.

Dalam pada itu, Pas Perak menyatakan sokongan kepada keputusan kerajaan itu yang tidak membenarkan dua peserta Israel itu menyertai kejohanan tersebut.

“Tindakan itu sangat bertepatan memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Israel. Malahan Malaysia juga antara negara yang terkehadapan dalam menentang kezaliman yang dilakukan oleh regim zionis Israel.

“Dewan Pemuda Pas Perak turut merakamkan ucapan tahniah atas ketegasan kerajaan dalam isu membabitkan Israel dan keamanan Palestin,” katanya.


Tiada ulasan: