Khamis, 3 Disember 2015

Najib ‘culik’ demokrasi, wayang ‘ancaman’ direka

Oleh Wong Kah Woh

1mdb


ADAKAH Kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba untuk ‘menculik’ sistem perundangan dan demokrasi di negara ini melalui pembentangan Pembentangan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015?
DAPSY mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang itu dengan segera supaya ahli-ahli parlimen, pengamal undang-undang dan rakyat mempunyai peluang meneliti, mengkaji dan berunding tentang hal itu.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 memberi kuasa yang amat luas dan besar kepada majlis itu dan Perdana Menteri untuk membuat peristytiharan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan jika didapati ‘diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana pihak yang menyebabkan bahaya kepada orang ramai’.

Seterusnya, melaksanakan kuasa mengikut rang undang-undang termasuk membuat perintah berkurung.
ISAKita harus mengambil iktibar betapa kerajaan pernah memberi jaminan semasa pembentangan Rang Undang-Undang pada 1960 kononnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan digunakan terhadap ahli-ahli politik pembangkang.

Dan, kita sedia maklum hakikat sebenarnya selepas ISA dilulus, sangat bertentangan apabila mereka yang memegang kuasa mentafsir istilah ‘ancaman terhadap keselamatan negara’ dengan sebegitu luas.

Kita juga maklum lebih 30 ahli politik, ahli akademik, aktivis dituduh mengikut Akta Hasutan sejak 2014 sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah memberi janji untuk menghapuskannya pada 2011.

Bagaimana sesuatu kawasan boleh diistihar sebagai satu kawasan keselamatan, terbuka kepada pentafsiran luas. Dengan ini, bertambah kebarangkalian untuk akta itu jika diluluskan, disalah guna khasnya dalam keadaan kredibiliti Perdana Menteri sedang dipersoal.

Persoalan yang wajib dibincang ialah sama ada perisytiharan itu akan mempunyai kesan seperti darurat yang sistem pilihan raya ditangguh sehingga tempoh itu tamat.

Apabila Najib melumpuhkan segala institusi yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB melalui pelantikan Peguam Negara baru dalam masa 24 jam, empat ahli PAC dibawa ke Kabinet, kita boleh bayangkan betapa besar kesannya jika beliau diberi kuasa sebegitu luas dan muktamad melalui rang undang-undang berkenaan.

Sehari sebelum rang undang-undang itu dibentang, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi amaran bahawa IS mencadang untuk menculik tiga pemimpin utama.

Persoalan sekarang ialah sama ada ia suatu kebetulan ataupun ia sekadar wayang kerajaan untuk menjustifikasi pembentangan rang undang-undang itu dengan kadar melulu?

parlimenSama ada ia suatu percubaan kerajaan untuk ‘menculik’ sistem demokrasi sedia ada?

Niat sebenar Kerajaan BN dalam memperkenal rang undang-undang itu amat meragukan, membawa bayang-bayang POTA, SOSMA dan Akta Hasutan yang pernah dijanjikan Najib untuk dimansuh.

Undang-undang sebegini kononnya untuk melindungi keselamatan negara tetapi akhirnya dan sebenarnya, digunakan untuk melindungi kepentingan peribadi pihak tertentu dan melakukan penindasan politik ke atas pengkritik kerajaan.

Janganlah Kerajaan Barisan Nasional sekali sekala cuba menggunakan atau menyalahgunakan nama dan istilah ‘keselamatan’ untuk mencapai tujuan politik yang tersirat.

* Wong Kah Woh ialah Ketua DAPSY Kebangsaan yang juga Adun Canning.


Tiada ulasan: