Jumaat, 25 Disember 2015

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar di pantai Marang

Mayat mangsa lemas ditemui terdampar di pantai Marang
Ketua Polis Marang, DSP Mohd Suhaimi Ali (kiri sekali) turut berada di tempat kejadian. - Foto Sinar Harian


MARANG - Mayat sudah mereput ditemui terdampar di Pantai Rhu Muda di sini, tengahari tadi dipercayai mayat Muhamad Wafiq Mohd Noor, 17, yang dikhuatiri lemas selepas berenang di Pantai Rhu 10, Setiu pada Isnin lalu.

Difahamkan, mayat remaja malang dalam keadaan meniarap itu ditemui orang awam kira-kira jam 12 tengah hari selepas mereka terhidu bau busuk ketika melalui kawasan pantai peranginan berkenaan lalu menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian itu bagaimanapun berkata, identiti mayat itu masih belum dapat dikenal pasti namun tidak menolak kemungkinan itu.

Mohd Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12.15 tengah hari sebelum sekumpulan anggota polis tiba di lokasi kajian tidak lama kemudiannya.

“Mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat serta pengesahan sama ada mayat ditemui itu ada kaitan dengan pelajar yang lemas di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu itu,” katanya.

Isnin lalu, sekumpulan 10 orang yang terdiri daripada dua orang guru dan lapan pelajar dari pelbagai sekolah menengah di Johor, yang datang ke negeri ini untuk menghadiri majlis agama, telah melawat pantai Rhu 10 di Setiu.

Mereka juga dikatakan telah berenang di pantai berkenaan namun tujuh daripada kumpulan itu telah naik ke darat meninggalkan tiga yang lain apabila ketiga-tiga mereka tiba-tiba dilihat bertarung dengan ombak dan arus deras.

Salah seorang daripada mereka, Ahmad Izzat Shahruddin, 17, berjaya diselamatkan ahli kumpulan yang lain manakala mayat Mohd Naim Adnan dari Kampung Seri Bengkal, Baru Pahat, Johor ditemui terapung di Pantai Rhu 10, Setiu pada Rabu lalu.

Penemuan terbaharu di Pantai Rhu Muda, Marang ini dikatakan ada hubung kait dengan mangsa terakhir kejadian berkenaan iaitu, Muhamadd Wafiq Mohd Noor, 17, namun pihak polis masih menunggu keputusan bedah siasat.


Tiada ulasan: