HATYAI,  Seorang kanak-kanak lelaki warga Malaysia meninggal dunia, setelah terjatuh dari tingkat enam sebuah hotel, awal pagi tadi.


Fam Song Heng, 10, yang berasal dari Melaka, dikatakan terjatuh dari tingkat enam Hotel Asia Grand, di Jalan Chayakul, pada jam 2.20 pagi.

Menurut pegawai polis bertugas, Kapten Kittitas Numuang, mangsa terjatuh di bahagian belakang hotel yang menempatkan kawasan letak kereta.

Beliau berkata, polis menyifatkan kejadian itu sebagai satu kemalangan dan ia mungkin berpunca daripada Fam yang berjalan dalam tidur sehingga membawa kepada tragedi itu.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan tidur bersama nenek dan seorang adik lelakinya, di sebuah bilik di tingkat enam, manakala ibu bapanya tidur di tingkat tiga.

Mangsa menginap di hotel tersebut bersama enam ahli keluarganya yang bercuti di bandar ini dan dijangka pulang ke Malaysia pagi tadi, kata seorang ahli keluarga Fam yang enggan dikenali.

Menurutnya, dia hanya tahu mengenai kejadian yang menimpa mangsa, setelah dikejutkan dan diberitahu pekerja hotel.

Kittitas berkata, pemeriksaan awal oleh doktor mendapati, mangsa mengalami patah tulang belakang dan cedera di kepala, akibat terhempas dengan kuat.

Siasatan awal tidak menemui sebarang kesan penderaan di badan mangsa dan mayat dihantar ke Hospital Hatyai untuk bedah siasat.