Khamis, 10 Disember 2015

JANGAN SUSAH HATI - INI PELUANG MUHYIDDIN, SHAFIE BUAT SATU LAGI HIMPUNAN BERASINGAN

shahbudindotcom

 

 
 
 
Mesyuarat khas MT semalam sah membuat keputusan hanya Najib Razak seorang saja dibenarkan berucap pada majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 tahun ini.

Bermakna, tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya yang biasanya menampilkan seorang atau dua ahli MT, ketua-ketua sayap, Naib-Naib Presiden, Timbalan Presiden dan akhirnya sekali oleh Presiden untuk memberikan ucapannya, tahun ini tiada pemimpin lain diberi ruang berucap sebegitu rupa.

Merasmikannya Najib dan menutupnya pula hanya Najib. Tidak ubah PAU tahun ini diadakan semata-mata untuk Najib.

Keadaan ini berlaku tidak lain kerana wujudnya perbezaan pendapat antara Najib dengan Muhyiddin dan Shafie berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang menyebabkan kedua-duanya diketepikan daripada kerajaan.

Dalam mesyuarat khas MT semalam, walaupun Muhyiddin dan Shafie membuat rayuan agar mereka dibenarkan menyampaikan ucapan sebagaimana biasa, tetapi ia tetap ditolak.

Ia akhirnya mengesahkan tanggapan Muhyiddin bahawa beliau hanyalah ibarat tunggul saja dalam perhimpunan tahun ini.

Sebelum ini, dengan tujuan untuk menyekat suara Timbalan Presiden itu, Muhyiddin juga dilarang daripada merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun sekatan untuk perasmian itu tidak membuatkan Muhyiddin berdiam diri, sebaliknya memilih untuk mengadakan program "Bersama Timbalan Presiden UMNO" di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 7 Disember lalu untuk menyampaikan amanatnya yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 penyokongnya.

Setelah dilarang pupa berucap untuk majlis penggulungan ini, apakah pilihan untuk Muhyiddin dan Shafie?

Sebenarnya inilah peluang terbaik untuk Muhyiddin dan Shafie menganjurkan satu lagi himpunan untuk mereka menyampaikan ucapannya sebagai ganti majlis penggulungan yang tidak dibenarkan itu.

Oleh kerana majlis penggulungan ialah pada petang Sabtu, 12 Disember nanti, Muhyiddin dan Shafie boleh memilih untuk mengadakan program himpunan itu pada waktu yang sama atau pada sebelah malamnya.

Ia juga boleh diadakan sama ada sekali lagi di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru atau dewan lain yang bersesuaian sebelum para perwakilan pulang meninggalkan ibukota.

Perlunya Muhyiddin dan Shafie mengadakan program himpunan untuk menyampaikan ucapan mirip penggulungan ialah kerana sudah tentu kedua-duanya akan menjadi sasaran kritikan, serangan dan mungkin ejekan atau "boo" yang sengaja diwujudkan oleh kumpulan pro Najib untuk memalukan mereka.

Tetapi, oleh kerana mereka tidak berpeluang berucap di majlis penggulungan, bagaimana mahu menjawab segala kritikan dan serangan itu?

Adakah mungkin Najib akan bersikap terlalu baik untuk menjawab segala kritikan terhadap Muhyiddin dan Shafie itu?

Atau Najib akan menggunakan kesempatan Muhyiddin dan Shafie tiada ruang bercakap itu untuk menambah lagi serangannya kepada kedua-dua pemimpin yang sudah dianggap musuhnya itu?

Berdasarkan perkembangan semasa serta pelbagai sekatan bersuara terhadap Muhyiddin dan Shafie, sudah pasti program himpunan itu akan mendapat sambutan luar biasa daripada ahli-ahli UMNO sendiri untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua pemimpin itu.

Kepada Muhyiddin dan Shafie, sekarang adalah masa untuk melawan dan inilah kesempatan terbaik menganjurkan satu lagi himpunan besar seperti yang diadakan pada 7 Disember lalu.
 
 
 

Tiada ulasan: