[ULASAN] Akhirnya
bisul dendam golongan yang selama ini terkilan Islam menyekat ‘kebebasan
bersuara’ dan tidak mengendahkan ‘hak peribadi’ mereka, pecah. Lantas
mereka menggesa kerajaan “membetulkan” keadaan ini.
Kumpulan pesara Melayu perkhidmatan kerajaan atau G25 ini menggesa
kajian semula terhadap pelaksanaan undang-undang Islam yang menjadikan
dosa peribadi, seperti berkhalwat, satu jenayah.
Jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, enakmen kesalahan
jenayah syariah yang ‘menceroboh ke dalam kehidupan peribadi rakyat’
harus dikaji semula.
Lantas G25 mahu mewujudkan satu jawatankuasa konsultatif demi
menghapuskan kekangan sedemikian yang menceroboh ‘ruang kehidupan dan
sfera peribadi rakyat’.
"Wujud masalah dalam pelaksanaan enakmen kesalahan jenayah syariah... kita perlu melihat kepada perkara ini.
"Kita perlu ahli jawatankuasa konsultatif itu untuk melihat perkara
ini, dan di mana mereka sebenarnya melanggar Perlembagaan Persekutuan.
"Untuk mencadangkan dan mungkin memansuhkan, atau meminda, dan juga
untuk melihat kepada undang-undang yang menceroboh ke dalam kehidupan
peribadi rakyat seperti undang-undang khalwat," kata Noor Farida.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di akhir forum dua hari
“Islam dalam Demokrasi Berperlembagaan” di Kuala Lumpur minggu lalu.
Beliau menekankan bahawa hanya Malaysia sahaja yang mempunyai
undang-undang mengenai khalwat dan ia bertentangan dengan ajaran Islam.
"Dalam Islam, Al-Quran kata anda tidak boleh menceroboh ruang peribadi
seseorang. Oleh itu, kami katakan, ini bertentangan dengan Islam," kata
Noor Faridah.
Beliau berkata jawatankuasa konsultatif mengkaji isu-isu ini penting
bagi mengelakkan ketidakadilan masa depan terhadap umat Islam dan bukan
Islam.
"Di bawah perlembagaan, mereka tidak mempunyai bidang kuasa ke atas
orang bukan Islam. Tetapi sekarang, mereka juga mengambil tindakan
terhadap orang bukan Islam.
"Orang bukan Islam turut terlibat dengan keputusan mahkamah syariah dan undang-undang," kata Farida.
"Islam adalah agama keadilan, belas kasihan dan kasih sayang. Tetapi
cara Islam dilaksanakan di bawah undang-undang syariah ketika ini, yang
diluluskan penggubal undang-undang negeri, ia bukan undang-undang Tuhan.
"Ia tafsiran manusia tentang hukum Tuhan. Ia menyebabkan banyak
ketidakadilan bukan sahaja kepada orang Islam, tetapi orang bukan Islam
juga," katanya.
Ramai ulama yang bingkas bangun membidas kenyataan G25 yang dianggap melampau.
Malah
ahli politik seperti Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berpendapat
perundangan sedia ada memadai untuk menguruskan kepentingan umat dan
peraturan Islam. PAS pun demikian.
Namun sedihnya pemain terbaru dalam politik Islam di Malaysia – Parti
Amanah Negara (PAN) -- lembab sedikit menyatakan pendirian dalam isu
dosa khalwat adalah persoalan insan dengan Allah sahaja.
Sayugia diingat sebelum ini PAN juga tidak menetapkan pendiriannya
dalam isu melesterikan alam sekitar khususnya isu penambakan laut di
Pulau Pinang.
Sedihnya, G25 yang mewakili pesara perkhidmatan kerajaan yang selama
ini “menderita” dek kesumat terhadap peraturan dan pengurusan Islam di
negara ini hanya membisu ketika berkhidmat.
Adakah ini kerana mereka tidak mahu kedudukan dalam pentadbiran
kerajaan akan tergugat? Kini apabila sudah “bebas” daripada peraturan
dan kanun perkhidmatan awam, baru mereka bertindak?
Adakah keberanian ini timbul kerana ketika berkhidmat mereka berasa
golongan yang sefahaman mereka adalah minoriti tetapi apabila sudah
“bebas”, mereka percaya kedudukan mereka “selamat” jika bersuara dalam
sebuah NGO seperti G25?
Kini apabila sudah terjamin bayaran pencen, baru mereka berani
mengambil kesempatan kemelut politik negara kini untuk meluahkan apa
yang terbuku di dada?
Sayangnya,
sikap membisu PAN yang mengaku berjuang atas landasan Islam agak
menyedihkan. Kini peraturan Allah – amar makruf nahi mungkar –
dipertikaikan; tetapi PAN membisu.
Apakah perhitungan PAN isu ini tidak menguntungkan di segi politik?
Adakah ia lebih gusar kemungkinan hilang sokongan 25 pesara penjawat
awam dan golongan sekular yang sependirian mereka?
Atau, PAN masih menunggu isyarat daripada mentor mereka – Lim Guan Eng –
menentukan sama ada isu ini merugikan atau isu populis yang akan
menawarkan laba politik besar bagi pembangkang?
Apakah doktrin inklusif yang dilaungkan PAN selama ini meliputi
perjuangan orang-orang pencen yang menuntut kawal selia atau kongkongan
lebih ketat terhadap Islam?
Atau, adakah meleraikan isu khalwat sebagai satu jenayah bermakna PAN
terbuka menerima golongan yang agak kurang selesa dengan peraturan hidup
Islam di Malaysia akan membuktikan ia sebuah parti politik yang
inklusif?
Apa pandangan dua mantan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia – Ustaz
Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin – yang menjadi penasihat
PAN?
Wajarkah PAN menganut konsep dosa itu adalah soal peribadi di antara
individu dan Allah sahaja? Maka bagi membuktikan ia berimamkan konsep
inklusif, pemikiran G25 ditatang dalam PAN?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan