Rabu, 23 Disember 2015

Hati-hati dengan perancangan pecah-belahkan Pas – Iskandar

 
Abdul Hadi hanya sekadar menghadiri Multaqa Al-Azhar tetapi terdapat media yang mencanangkan seolah-olah Pas akan bersatu dengan UMNO


Iskandar-Abdul-Samad_hadi-awang_600


PETALING JAYA: Ahli-ahli Pas diingatkan agar berhati-hati dengan perkembangan politik semasa yang dilihat mempunyai perancangan halus untuk memecah-belahkan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekadar menghadiri Multaqa Al-Azhar pada minggu lalu tetapi terdapat media yang mencanangkan seolah-olah Pas akan bersatu dengan UMNO atau Pas akan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama UMNO.

“Pimpinan UMNO pula kelihatan bersungguh-sungguh untuk `meminang’ Pas.

“Media-media yang selama ini memusuhi Pas atau sentiasa memburuk-burukkan pimpinan Pas telah menjadikan isu ini berita utama mereka. Kononnya pelbagai inisiatif sedang dirancang bersama oleh kedua-dua parti.

“Mereka mendakwa terdapat kumpulan yang menyokong perpaduan bersama UMNO dan terdapat kumpulan yang menentang. Mungkin agar ahli-ahli Pas bergaduh sesama sendiri,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor menyeru agar ahli-ahli parti itu berwaspada dengan taktik tersebut kerana ‘political move’ dari UMNO itu berkemungkinan terdapat ‘udang di sebalik batu’.

“Umat Islam juga sentiasa diingatkan agar tidak digigit dari lubang yang sama,” tegasnya.

Perbincangan perpaduan di antara Pas dan UMNO kembali rancak selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hadi duduk sepentas memakai baju Melayu sedondon pada perasmian pembukaan Majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia pada 17 Disember lalu.

Najib dalam ucapannya turut menghulurkan salam perpaduan dengan memetik beberapa potong ayat al-Quran sambil menyeru Pas bekerjasama dengan UMNO.

Tiada ulasan: