Jumaat, 18 Disember 2015

Guan Eng nafi tulis tweet PAS dapat manfaat daripada RM2.6 bilion




Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat penafian berhubung tweet yang dikatakan ditulis beliau dan menganggap ia tindakan berniat jahat. – Gambar Twitter, 18 Disember, 2015. 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat penafian berhubung tweet yang dikatakan ditulis beliau dan menganggap ia tindakan berniat jahat. – Gambar Twitter.
 
 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan menghantar tweet mendakwa PAS menerima dana daripada sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 
 
Tweet itu disiarkan menggunakan akaun Twitter @DairyYB petang semalam, kira-kira pukul 5.50 petang. Akaun Lim adalah @cmlimguaneng.

Tweet itu menunjukkan gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar di Kuala Lumpur semalam dengan kata-kata, "PAS antara yang terima bahagian dari dana RM2.6B. Jadi memang layak mereka berkawan baik."

Lim berkata, beliau tidak pernah menulis tweet dan menyifatkannya sebagai tindakan berniat jahat. 
 
 "Saya dimaklumkan mengenai tweet itu dan bertanya kepada pentadbir Twitter saya (Pengarah Bahagian Komunikasi Maklumat Kerajaan Negeri) Yap Lee Ying mengenainya.

"Beliau mengesahkan tiada tweet dibuat menggunakan akaun Twitter @cmlimguaneng. Jadi saya meminta beliau membuat laporan polis pagi ini," katanya pada sidang media hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, beliau tidak pernah mengulas mengenai kerjasama yang dicadangkan antara Umno dan PAS sejak Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

Beliau berkata, beliau menganggap perkara itu, yang dicadangkan Najib semasa perhimpunan itu, sebagai "urusan keluarga" di antara Umno dan PAS.

Cakap-cakap mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak yang bersaing itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia disahkan Ketua Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob yang sebelum ini berkata, kedua-dua pihak sudah menjalin kerjasama sejak 2 tahun.

"Apa yang kedua-dua parti itu lakukan, sama ada mereka bekerja bersama atau tidak, adalah urusan mereka sendiri.

"Ia tidak ada kena mengena dengan DAP... kenapa libatkan saya dalam hal ini?

"Satu-satunya masa saya bercakap berkaitan hubungan ini ialah apabila MCA dilaporkan menyalahkan DAP dalam cadangan kerjasama antara PAS dan Umno itu," kata Lim.

Malam tadi, Lim juga menafikan tweet palsu berkenaan menerusi laman Twitternya.

Tweet yang dikatakan palsu itu masih tidak dibuang daripada akaun YBDairy itu.


Tiada ulasan: