Sabtu, 19 Disember 2015

DAP 'panas' dengan kerjasama Pas-Umno


Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
 
 
KUALA LUMPUR - Kritikan DAP di media sosial terhadap pertemuan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Abdul Razak ‎dalam Multaqa Serantau  Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 ‎semalam ternyata membuatkan DAP tidak senang duduk.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kritikan  itu jelas menunjukkan DAP  kurang senang dengan perkara yang melibatkan permuafakatan antara dua parti besar Islam ini.

"Hendak tahu ukurannya berjaya atau tidak kita tengok bagaimana maklum balas ataupun telahan dan kritikan daripada mereka yang mungkin kurang senang dengan Multaqa ini.

"Semalam saya perhatikan di Twitter dan di media sosial terutamanya daripada pihak DAP atau pemimpin tertingginya Lim Guang Eng memberikan kritikan terhadap Multaqa ini," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015, di Hotel Grand Seasons hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Setuju tubuh jawatankuasa temukan pemimpin Umno, Pas]

Terdahulu, Lim Guang Eng dalam Twitternya menafikan bahawa beliau ada menulis mengenai 'Pas bersama Umno, kerana mendapat sebahagian duit derma RM2.6 bilion'.

Guan Eng berkata, tweet itu palsu, dan satu laporan polis telah dibuat.

Isu kerjasama antara Umno dan Pas semakin hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, menghulurkan 'tali silaturahim' kepada parti Islam itu untuk sama-sama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam sebenarnya.

Pelawaan itu dibuat ketika beliau berucap menyampaikan ucapan dasar sempena perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015, minggu lalu.

Najib dalam ucapannya itu turut melahirkan rasa gembiranya kerana Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas 'disepak dan diterajang keluar' oleh rakan-rakan pembangkangnya.

Isu itu menunjukkan perkembangan yang positif apabila Najib dipertemukan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar, semalam.

Najib dijemput untuk merasmikan majlis berkenaan, manakala Hadi pula dijemput untuk menyampaikan ucaptama.

Malah, Najib dalam ucapan perasmian majlis itu semalam sekali lagi mengajak Pas untuk bergabung bersama Umno, dengan mengambil sepotong ayat Al-Quran sebagai rujukan untuk mewujudkan usaha ke arah penyatuan dua parti politik berkenaan.


Tiada ulasan: