Selasa, 1 Disember 2015

Buka 10 rumah ngaji di‎ penjara



Buka 10 rumah ngaji di‎ penjara
Guru agama memimpin penghuni membaca al-Quran dengan kaedah bacaan Al-Badar.


KAJANG - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas menyumbang kira-kira 10 buah Rumah Ngaji di penjara seluruh Malaysia.

Timbalan Presiden Kanan Kumpulan BPMB, Mohd Yazid Safuan berkata, usaha berkenaan bertujuan membantu penghuni penjara mendapatkan pengajian yang teratur bagi mendalami al-Quran.

“Tujuan kita untuk melahirkan lebih ramai penghuni penjara dapat  mendalami dan memahami al-Quran selepas mereka keluar nanti.

“Dengan ada sumbangan ini juga kami harap dapat merubah sikap dan sahsiah mereka terhadap masyarakat setempat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang akhbar Majlis Perasmian Rumah Ngaji Penjara Kajang di sini, semalam.

Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan, Darussalam Budin dan Timbalan Pengarah Penjara kajang, Halim Ma Hassan.

Katanya, kira-kira RM600,000 diperuntukkan oleh BPMB untuk membiayai pembinaan kesemua Rumah Ngaji yang dirancang.

“Sekurang-kurangnya RM10,000 hingga RM25,000 diperlukan bagi menanggung sebuah Rumah Ngaji dalam setahun. Kos merangkumi pembinaan tempat, latihan kemahiran, elaun guru dan kos operasi,” katanya.

Menurutnya, Sekolah Integriti Kajang (Sik) adalah penjara pertama yang menerima Rumah Ngaji sebelum sembilan penjara lain menerimanya.

“Sembilan lagi penjara akan menerima Rumah Ngaji ialah Pengkalan Chepa, Marang, Bentong, Kota Kinabalu, Simpang Renggam, Tapah, Sungai Petani, Sungai Udang dan Puncak Borneo.

“Kami akan bina dan memulakan operasi secara berperingkat selama enam bulan dari sekarang,” katanya.
Yazid berkata, pembinaan Rumah Ngaji di penjara sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) BPMB di samping menjalankan mandat diberikan oleh kerajaan.

“Kami amat terbuka dan sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja dalam program yang mampu memberi faedah kepada masyarakat. Kami juga berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Penjara Malaysia,” katanya.

Menguatkan program pemulihan

Dalam pada itu, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pembinaan Rumah Ngaji mampu membantu menguatkan lagi program pemulihan dianjurkan penjara.

Katanya, spiritual penghuni dapat dibentuk dengan adanya pengajian al-Quran yang mendalam dan teratur.

“Mengaji al-Quran boleh meresap perasaan dan emosi serta mengubah seseorang menjadi insan yang baik. Saya kira Rumah Ngaji adalah satu program yang baik kerana boleh membentuk spiritual penghuni penjara,” katanya.

Menurutnya, pembinaan Rumah Ngaji boleh membantu memperkasakan program sedia ada yang dijalankan oleh pihak penjara sebelum ini.

“Peruntukan di penjara ada tetapi tidak mencukupi dan hanya sesuai untuk program-program kasar dan amalan-amalan biasa sahaja. Jadi, Rumah Ngaji ini akan menjadi sebuah program luar biasa kerana mampu membina kekuatan penghuni yang ada,” katanya.

Justeru, beliau berharap pembinaan Rumah Ngaji di penjara dapat memainkan peranan bagi melahirkan penghuni berilmu dan berakhlak selepas mereka dibebaskan kelak.

“Rumah Ngaji mungkin membantu mereka memulakan kehidupan baru yang bermula dari penjara. Siapa tahu selepas keluar nanti mereka boleh jadi hafiz atau guru agama yang boleh mendidik orang lain pula,” katanya.

Lebih dari 1,000 penghuni Penjara Kajang akan mengikuti pengajian al-Quran dikelolakan Rumah Ngaji. Mereka adalah penghuni fasa kedua penjara yang sedang menjalani pendidikan spiritual.

Seramai tiga orang guru terlatih akan memimpin mereka melalui dua kaedah bacaan al-Quran iaitu Al-Badar dan Tadabbur At-Tasyakur. Penghuni turut menerima sumbangan berbentuk bahan bacaan bernilai RM2,000 daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.


Tiada ulasan: