Ahad, 27 Disember 2015

Belum ada kerjasama rasmi UMNO-Pas

Zahid Hamidi menafikan membuat kenyataan Majlis Syura Pas telah membuat keputusan supaya semua ahli Pas akur dengan kerjasama UMNO-Pas


Zahid


PETALING JAYA: Belum ada sebarang kerjasama formal antara UMNO dan Pas termasuk sebarang surat rasmi daripada UMNO berhubung kerjasama dengan parti Islam itu.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau membuat penjelasan itu bagi menafikan kenyataan oleh Ketua Majlis Syura Pas yang juga Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed seperti yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 26 Disember.

Akhbar itu melaporkan Mahfodz berkata, Zahid mengeluarkan kenyataan bahawa Majlis Syura Pas telah membuat keputusan supaya semua ahli Pas akur dengan kerjasama UMNO-Pas.

Zahid berkata, ikatan tahaluf siyasi boleh terjalin andainya ada persefahaman yang termeterai, namun terlalu awal untuk mengatakan bahawa kerjasama itu dibuat secara formal melalui pendekatan ikatan politik secara berorganisasi.

“Saya melahirkan keyakinan bahawa ada keserasian sudah wujud dalam pemimpin UMNO dan Pas walaupun ada kedengaran suara-suara yang menolak dari Pas.

“Dalam temubual saya dengan Mingguan Malaysia yang disiarkan pada 20 Disember lalu, pun secara jelas, saya menyatakan bahawa parti Pas mempunyai sistem syura yang kuat, maka suara-suara yang tidak setuju ini akan bersetuju pada akhirnya,” jelasnya.

Beliau berkata, sebarang kekhilafan dalam laporan berita Sinar Harian bertarikh 26 Disember 2015 (Sabtu) ditafsirkan semula secara berhemah dalam memperbetulkan persepsi mengenai kerjasama UMNO-Pas.

Katanya, walaupun UMNO bersikap terbuka namun penerimaan parti komponen lain perlu diambil kira.

“UMNO mengamalkan sikap terbuka. Pun begitu, UMNO juga perlu mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). Seharusnya UMNO menilai unsur kerjasama ini di sudut penerimaan parti-parti komponen BN.

“Secara prinsipnya, marilah kita berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah Al-I’Imran ayat 103 yang jelas membawa maksud supaya kita berpegang kepada tali Allah supaya tidak berpecah-belah,” katanya dalam kenyataan media

Tiada ulasan: