Khamis, 17 Disember 2015

Bajet 2016 disemak semula jika harga minyak jatuh

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat semakan semula Bajet 2016 sekiranya harga minyak mentah Brent terus jatuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar.
 
Beliau berkata, pada masa Bajet 2016 dibuat, perancangan perbelanjaan negara disandarkan kepada andaian harga Brent pada paras purata AS$48 satu tong, yang dianggap munasabah pada waktu itu.
 
"Kerajaan perlu mengoptimumkan pelan pembangunan negara sekiranya harga minyak terus berada di paras rendah...dan ini termasuk, sekiranya perlu, menyemak semula beberapa projek yang sudah diumumkan sebelum ini.
 
"....Berdasarkan harga minyak semasa, Brent ketika ini kira-kira AS$10 satu tong lebih rendah daripada andaian sebelum ini dan sama ia akan kekal atau hanya kejatuhan sementara, ia akan terus dipantau," katanya. Pada dagangan tengahari tadi, harga Brent berada pada AS$37.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap di Syarahan Perdana bertajuk Tinjauan Ekonomi: Hala Tuju Bagi Malaysia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur, semalam.
 
Syarahan Perdana itu dianjurkan Kelab Alumni Sekolah Perniagaan Harvard Malaysia (HBSACM) dan Sekolah Perniagaan Antarabangsa UTM. Hadir sama Presiden HBSACM, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Pengarah Aktivitinya, Datuk Othman Yusoff.
 
Wahid berkata, kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan dan syarikat di negara ini bagi memastikan sebarang potensi impak ke atas ekonomi negara akan dapat dilindungi, sekiranya harga minyak kekal di paras rendah semasa.
 
Bagaimanapun, beliau menegaskan semakan semula Bajet 2016 hanya akan dibuat sekiranya harga minyak mentah jatuh di paras kritikal.
 
"Kalau kita mahu ubah bajet berdasarkan perubahan harga harian....ia mesti bersandarkan kepada andaian harga berpandukan arah aliran," katanya yang menjangka terdapat potensi harga minyak mentah akan naik tahun depan.
 
Mengulas langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lewat malam tadi, Wahid berkata keputusan bank pusat itu adalah dijangka dan dinantikan, selain dalam jangkaan kebanyakan penganalisis.
 
Katanya, negara sudah mengambil kira andaian peningkatan itu dan menjangka ringgit akan diniagakan stabil pada kadar purata RM4.20 berbanding dolar.
 
Beliau berkata, mesej lain yang disampaikan Fed AS itu ialah indikasi bahawa kenaikan susulan akan berlaku tahun depan, secara berperingkat, sebelum kadar mencapai kadar yang dianggap normal.
 
"Saya tidak bersetuju langkah kenaikan kadar faedah itu akan menjurus kepada aliran keluar modal dari Malaysia.
 
Pokoknya, pelaburan dibuat di Malaysia kerana kestabilannya, kekukuhan asas mikroekonomi, dan sebagainya. Saya kira ia akan berterusan kerana kita memiliki asas ekonomi, sumber dan dan pasaran eksport yang pelbagai, selain disiplin fiskal," katanya.
 
Wahid berkata, secara keseluruhannya Malaysia kini lebih bersedia dalam berhadapan kemungkinan di luar dugaan berbanding sewaktu Krisis Kewangan Asia 1997.
 
"Tetapi, kita tidak berpuas hati begitu saja. Kita mesti berhati-hati," katanya. Objektif utama syarahan itu diadakan ialah bagi memberi pendedahan maklumat serta perkongsian ilmu berhubung ekonomi negara.
 
Ia dihadiri pelbagai lapisan masyarakat daripada pemikir hinggalah kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
 
 

Tiada ulasan: