Rabu, 9 Disember 2015

Akar Umbi PAS Akan Menolak UMNO

Oleh YB Dato' Iskandar A. Samad


Kenyataan Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak bahawa PAS bersedia untuk kerjasama dengan UMNO adalah satu mimpi di siang hari.Beberapa perkembangan yang disebut beliau bukan satu petunjuk kepada sikap PAS yang sebenar.

Dato' Seri Najib patut sedar dari mimpi tersebut dan menyelesaikan masalah dalaman UMNO terlebih dahulu.

Jangan digunakan PAS sebagai satu "smokscreen" untuk menutup masalah UMNO. Seluruh dunia telah mendengar ucapan Tan Sri Muhyiddin Yaasin, Timbalan Presiden UMNO, malam tadi. Ternyata UMNO berhadapan dengan satu krisis dalaman yang serius seperti tahun 1998 dan tahun 1988.

UMNO telah melakukan terlalu banyak "dosa" terhadap PAS terutamanya kepada akar umbi PAS.

Ahli-ahli PAS atau keluarga mereka dinafikan pelbagai peruntukan atau bantuan yang sepatutnya diterima mereka sebagai warganegara yang sah di negara ini.

Penjawat-penjawat awam yang condong kepada PAS diberi amaran, diugut atau dipindahkan. Gerai-gerai peniaga-peniaga yang menyokong PAS dirobohkan. Aktivis-aktivis PAS ditahan malah ada yang meninggal dunia akibat tahanan tersebut.

Kelantan dianaktiri sejak penubuhan kerajaan PAS yang pertama dalam tahun 1959.

Kerajaan PAS Terengganu telah dinafikan hak royalti petroleum.

UMNO akan sentiasa mencari PAS apabila tertekan. Tetapi terlalu banyak "dosa" UMNO terhadap PAS dan sudah tentu mustahil bagi akar umbi PAS untuk memaafkan UMNO.

(*)  YB Dato' Iskandar A. Samad Naib Presiden PAS /Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor

1 ulasan:

awekaste berkata...

Akar umbi ajelah terasa dgn segala penderitaan tersebut. Tapi pemimpin di umbi atau pucuknya terasa cam tak pernah ada penderitaan dgn pucuk pimpinan parti "itu".

Wasalam