Khamis, 24 Disember 2015

5 lelaki dikhuatiri sesat ketika berburu di Grik

MALAYSIAKINI

Lima lelaki yang melakukan aktiviti berburu di Hutan Kampung Bongor dekat Gerik di sini sejak Isnin lepas dikhuatiri sesat apabila dilaporkan masih tidak pulang ke rumah sehingga hari ini, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad.

Katanya mereka dikenal pasti sebagai Rosli Supiyan, 42, Zakaria Mokhtar, 28, Husaini Rafei, 20, Zulfazli Abd Majid, 36, dan Mohd Zahid Mohd Maznan, 19, dikatakan masuk ke kawasan hutan untuk memburu burung.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan dari pihak polis kira-kira pukul 11.30 malam tadi bagi membantu operasi mencari mereka.

"Setakat ini pihak bomba telah menghantar 10 anggota ke kawasan berkenaan bersama-sama dua anggota polis dan 22 anggota pasukan Rela untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Kawasan pencarian dalam 500 kilomter persegi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mangsa lemas ditemui

Sementara itu di Johor Bahru, dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Desaru, dekat Kota Tinggi lewat petang semalam, ditemui mati lemas di pantai itu hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mangsa adalah Albar Donar dan Misran Osman, kedua-duanya berusia 16 tahun.

"Mayat Albar ditemui berhampiran pantai itu pada pukul 10.34 pagi manakala mayat Misran pula pada 12.15 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi.

Mohd Fadli berkata sebaik menerima laporan kejadian itu pada 7.24 malam 17 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air dihantar untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat mulai 8 malam tadi.

Kedua-dua mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya..- Bernama


Tiada ulasan: