Selasa, 21 April 2015

Pemuda PAS P.Pinang tak mahu sertai kempen PRK Permatang Pauh

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah nekad untuk tidak mengerahkan jentera parti bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
 
"Kami tak boikot, cumanya tak akan ada kerahan jentera. Jangan harap PKR dapat guna jentera Pemuda PAS Pulau Pinang di Permatang Pauh nanti," katanya.
 
Memetik laporan mStar Online, Mohd Yusni berkata tindakan itu ekoran tindakan PKR yang enggan menarik balik penghinaan dan mengemukakan permohonan maaf terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Ditanya sama ada keengganan Pemuda PAS untuk membantu calon PKR di Permatang Pauh akan dianggap mengingkari arahan parti, Mohd Yusni bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan boikot.
 
"Bukan boikot, tak pernah keluar arahan begitu. Tapi kalau PKR tak mahu mohon maaf juga, kami Pemuda PAS akan tengok saja kempen itu nanti. Jangan harap kami tolong.
 
"Siapa (Pemuda PAS) yang nak turun, turunlah (berkempen). Tiada halangan kepada mereka. Tapi anda tak akan lihat jentera kami...itu sahaja," katanya.
 
Pada Isnin, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengeluarkan arahan rasmi daripada PAS Pusat supaya jentera di semua peringkat di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak membantu kempen sekutu mereka di Permatang Pauh.
 
Kemelut pakatan pembangkang diperingkat akar umbi di Pulau Pinang tercetus ekoran PKR meminta Hadi meninggalkan PAS kerana dilihat menjadi liabiliti kepada usaha mengukuhkan pakatan pembangkang menerusi tindak-tanduk yang ‘mesra Umno’.
 
 

Tiada ulasan: