Isnin, 6 April 2015

Peguam: Persoal motif bukan hina mahkamah

MALAYSIAKINI


 


Peguam veteran Americk Sidhu berkata, ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sepatutnya boleh membezakan tindakan mempersoalkan motif pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan perbuatan menghina mahkamah

Americk yang merupakan peguam kepada seorang saksi utama dalam kes pembunuhan itu berkata, Khalid perlu faham bahawa tiada siapapun yang mempersoalkan keputusan mahkamah.

“Persoalan (motif) ini masuk akal. Ini adalah persoalan sama yang ditanya oleh sebahagian besar rakyat Malaysia sejak lapan tahun lalu.

“Apa yang Khalid gagal sedari ialah, tiada siapa yang mempersoalkan keputusan tersebut. Semua orang setuju bahawa keputusan (mahkamah) adalah betul.

“Bagaimanapun, soal motif itu tidak pernah ditangani dalam tiga mahkamah yang dilalui kes ini. Malah, bukti berhubung motif tidak pernah dikemukakan oleh pendakwaan,” kata Americk dalam kenyataannya.

Peguam kepada mendiang P Balasubramaniam itu berkata, oleh itu, Khalid perlu meningkatkan tumpuan dalam siasatan semula kes berkenaan dan bukannya menyiasat kenyataan di Twitter.

“Daripada membuat orang gerun di Twitter, lebih baik Khalid lihat jika kes ini perlu disiasat semula dengan lebih bersungguh-sungguh daripada sebelumnya.

“'Khalid Twitter' malah sanggup mengugut (salah satu kemahirannya) sesiapa saja yang berani membangkitkan isu motif pembunuhan kejam wanita warga asing di tangan dua komando polis terlatih Malaysia.

“Alasan yang diberikan oleh Khalid, Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan dan apa-apa alasan di sebalik keputusan tersebut boleh dianggap menghina mahkamah,” kata Americk.

Menurutnya lagi, beliau juga bersetuju dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut membangkitkan persoalan motif berkenaan.

Selain itu, Americk turut mencadangkan nama individu yang patut disiasat serta soalan yang patut diajukan kepada pihak berkenaan, bagi siasatan lanjut.


Tiada ulasan: