Naik harga 1 sen pun boleh didakwa  
Alias ketika bercakap pada sidang media, semalam.


 
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Peniaga yang sengaja menaikkan harga barang susulan pelaksanaan GST boleh dikenakan tindakan walaupun jumlah kenaikan harga kecil, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad.

Beliau mengulas aduan disalurkan pengguna kepada Sinar Harian mengenai harga barang yang sudah termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum ini dikekalkan peniaga yang kemudian menambah kadar enam peratus GST, sekali gus meningkatkan harga barang dan membebankan pengguna.

“Prinsipnya jelas, kalau barang itu ada SST (sebelum ini), kalau kadar SST lebih daripada GST, barang akan turun harga. Kalau SST (sebelum ini) lebih rendah daripada GST, harga akan diseimbangkan dengan enam peratus GST.

“Sekiranya peniaga naikkan harga lebih daripada yang patut dikenakan, kita akan lihat sama ada peniaga mencatut atau tidak. Apabila berlaku kenaikan begini kita kena lihat banyak perkara, kita tak menghukum secara tidak adil.

“Kenaikan harga mungkin boleh berlaku akibat macam-macam sebab jadi peniaga perlu tunjukkan sebab kenaikan harga itu. Kalau untuk mengambil keuntungan, peniaga naik satu sen pun kita boleh dakwa di bawah undang-undang, kerana peniaga dikira mencatut (mengambil untung berlebihan),” tegas Alias pada sidang media mengenai GST, semalam.

Alias berkata, di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, peniaga diwajibkan menyimpan dokumen dan invois berkaitan jual beli selama tujuh tahun untuk dijadikan bahan bukti terhadap siasatan KPDNKK.

Sistem cukai SST yang diguna kerajaan sejak 1972 sebelum ini mengenakan kadar cukai berbeza mengikut jenis barang, contohnya kadar lima peratus bagi makanan segera, minuman dan produk tenusu.

Sementara itu, kadar SST 10 peratus pula dikenakan bagi barang kegunaan harian, barangan elektrik, kenderaan dan perabot yang sepatutnya mengalami penurunan harga selepas SST dimansuhkan dan digantikan dengan GST.

84 peniaga disiasat

Sementara itu, Alias berkata, bagi tempoh lima hari pertama pelaksanaan GST, 36,429 pemeriksaan premis telah dibuat melalui Ops Catut 2 yang dijalankan bersama oleh KPDNKK dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, daripada pemeriksaan tersebut, 84 kes dibuka untuk siasatan dan 217 notis dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan peniaga mengenai punca kenaikan harga atau caj perkhidmatan tidak munasabah.

Sementara itu, berkongsi statistik terkini aduan berhubung GST, Alias berkata, bagi tempoh 1 April hingga 5 April 2015, jumlah aduan ke diterima melalui portal e-aduan KPDNKK ialah 2,494.

Katanya, daripada jumlah itu, aduan berkaitan pembelian kad tambah nilai prabayar telefon bimbit yang dikenakan GST menurun daripada 47 peratus kepada 44 peratus daripada keseluruhan aduan.

Namun, beliau berkata, aduan melalui portal tersebut mengenai kenaikan harga barang menunjukkan peningkatan termasuk barangan seperti makanan dan minuman di restoran, susu tepung bayi dan lampin pakai buang bayi.

“Aduan berkaitan resit tiada nombor pendaftaran GST, tetapi kenakan caj GST enam peratus pula secara relatifnya meningkat daripada 347 aduan kepada 362 aduan.

“Manakala aduan berkaitan caj perkhidmatan 10 peratus pula meningkat kepada 111 aduan,” katanya.