PRK Permatang Pauh
 
 
 
KUALA TERENGGANU – Tidak timbul isu Pas tidak akan membantu PKR di Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi tersebut walaupun suasana dalam PR dilihat sedikit tegang ketika ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman turut menafikan khabar angin Pas akan bertanding di parlimen tersebut berikutan parti itu berasa seolah-olah diketepikan rakan PR iaitu PKR dan DAP terutama berhubung isu hudud.

Menurutnya, selagi Pas masih bersama PR dan melakukan kerja di bawah PR, pihaknya bersedia bekerja untuk memastikan kemenangan PR pada pilihan raya kecil di kerusi tersebut.

“Setakat ini kita belum mendapat apa-apa arahan daripada kepimpinan. Itu hanya pandangan peribadi saya sahaja dan saya yakin Pas akan beri kerjasama yang baik.. akan hantar jentera sebagaimana diarahkan kepimpinan nanti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mengulas perkembangan terbaharu berhubung kematian Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter 4 April lalu yang bakal memperlihatkan satu lagi pilihan raya kecil, Ariffin tidak menolak kemungkinan Pas akan memberi tumpuan di Parlimen Rompin, manakala PKR dan DAP di Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata, kemungkinan itu boleh berlaku sekiranya pilihan raya kecil di kedua-dua kerusi terbabit berlangsung serentak atau berlaku dalam tempoh yang dekat antara kedua-duanya.

Ini sebab katanya, Parlimen Rompin ditandingi oleh calon Pas pada PRU13 lalu dan sudah tentu tumpuan sebaiknya akan diberi Pas di kawasan terlibat, lebih-lebih lagi ia merupakan kawasan Felda yang merupakan penempatan orang Melayu.

Berbanding Permatang Pauh, beliau menjelaskan ia adalah kerusi PKR bersama DAP akan ditugaskan untuk mengekalkan kawasan kubu kuat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pas mungkin ke Rompin kerana Rompin itu kawasan majoriti orang Melayu dan Felda. Mungkin PKR dan DAP akan membantu di Permatang Pauh. Apapun, kita serah kepada kepimpinan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan akur kepada setiap arahan kepimpinan dan akan menghantar jentera sebagaimana dikehendaki sama ada ditugaskan ke Parlimen Permatang Pauh atau Rompin atau kedua-duanya.