MALAYSIAKINI
Selepas berdepan dengan serangan bertubi-tubi daripada bekas perdana
menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, nampaknya penyokong Datuk Seri Najib
Razak bertindak balas.
Dalam perkembangan terbaru, penyokong perdana menteri itu menyasarkan
serangan mereka kepada anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz.
Sebelum itu ada bayangan bahawa Najib akan menyerang balas ketika dia ditemu bual stesen televisyen TV3 pada Khamis lalu.
Perdana menteri mendakwa kemarahan Mahathir berpunca daripada keengganan
kerajaan meneruskan projek jambatan bengkok yang dibatalkan Tun
Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
Sebelum dan selepas temubual itu disiarkan, beberapa pemimpin Umno
tampil menyatakan sokongan mereka kepada presiden mereka seperti yang
banyak disiarkan media arus perdana setiap hari.
Malah, timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berada di
Indonesia untuk lawatan rasmi turut menyuarakan sokongannya kepada
Najib.
Selepas menunjukkan kawalan beliau pada Umno, jentera Najib secara rasmi
menyerang balas dengan menyasarkan Mukhriz yang kini berkhidmat sebagai
menteri besar Kedah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin
mendahului serangan itu dengan mendesak Mukhriz menyatakan sokongan
terbuka kepada Najib atau meletak jawatan jika enggan berbuat demikian.
Langkah itu dituruti sepupu Najib sendiri, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein yang menyatakan, Mukhriz akan gagal sebagai menteri besar jika
Umno Kedah berpecah disebabkan isu berkenaan.
Keadaan itu meletakkan Mukhriz benar-benar tersepit dan perlu membuat
pilihan - sama ada menyatakan sokongan kepada Najib sebagai bos, atau
menurut rentak bapanya.
Jika Mukhriz memilih untuk menyertai kumpulan Mahathir, ia bukan saja
bermakna beliau memisahkan dirinya daripada pemimpin Umno Kedah, malah
jawatannya sebagai menteri besar juga terancam.
Jika itu berlaku, Mukhirz akan menjadi korban pertama dalam perang Mahathir – Najib.
Apabila Ahmad menggesa Mukhriz menyatakan sokongan kepada Najib, wakil
rakyat itu sebenarnya mengingatkan menteri besar berkenaan bahawa dia
berada di kerusi ketua kerajaan negeri itu adalah atas lantikan perdana
menteri.
Perlu diingatkan juga, Khairuddin Abu Hassan disingkirkan daripada
jawatannya sebagai Naib Ketua Umno Batu Kawan selepas dia membuat
laporan polis terhadap agensi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Jika diandaikan Mukhriz terselamat dalam konflik ini, timbul persoalan
mengenai bagaimana dia akan meneruskan langkahnya dalam parti ketika
ramai tokoh utama lain berpihak kepada Najib.
Mukhriz sudah terlepas peluang keemasannya untuk menjadi Naib Presiden
Umno dalam pemilihan parti itu yang lalu apabila kalah tipis kepada
Hishammuddin.
Apakah yang berlaku jika Mukhriz mengalah kepada tekanan parti dan mengumumkan kesetiaannya kepada Najib?
Jika itu berlaku, Mukhriz meletakkan bapanya dalam keadaan amat janggal.
Sebelum ini Mahathir menyuarakan kecamannya terhadap ancaman parti yang
mengancam sesiapa yang tidak menyokong Najib. Namun jika Mukhriz sendiri
membelakangi bapanya, bekas perdana menteri itu akan bersendirian dalam
misinya.
Andainya Mahathir mengambil langkah menghentikan serangannya terhadap
Najib, adakah itu bermakna pengaruhnya dalam Umno akan terjejas?
Perlu diingatkan ketika Mahathir meninggalkan Umno dalam usahanya
menyingkirkan Abdullah pada 2008, Mukhriz tidak mengambil langkah sama,
sebaliknya dia kekal dalam parti dan mengumpul kekuatan untuk pemilihan
akan datang.
Namun sejarah menunjukkan, Mahathir bukanlah tokoh yang mudah menyerah kalah.
Apabila berada dalam situasi terdesak, Mahathir tidak pernah
teragak-agak mengambil langkah drastik dan biasanya akan menyebabkan
seterunya mati langkah.
Antara langkah yang pernah diambil Mahathir ialah memecat timbalannya,
Anwar Ibrahim yang ketika itu sangat popular dalam Umno ketika negara
berdepan krisis ekonomi pada 1990-an.
Beliau juga pernah keluar dari Umo sebagai protes terhadap Abdullah.
Kali ini, apakah yang akan berlaku kepada "lone ranger" itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan