Ahad, 12 April 2015

Hasan Malek jamin GST tidak disalah guna

 
Hasan Malek juga mengakui pembangkang hanya berminat untuk mengelirukan pengguna dalam hal berhubung GST. 


hasan malek



ARAU: Semua kutipan wang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan digunakan bagi membina jalan raya, masjid, surau, kuil, sekolah, pembangunan modal insan, pendidikan dan membaik pulih infrastruktur.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek menjamin kutipan yang diperolehi GST tidak akan disalah guna.

“Setelah 11 hari GST dilaksanakan, rakyat didapati dapat menerimanya tetapi dikelirukan oleh pihak tertentu terutama pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan pengundi,” katanya.

Menurut laporan Bernama, Hasan Malek menuding ia sebagai dakyah pembangkang, iaitu menyalahkan segala usaha kerajaan sebagai tidak kena.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penerangan Isu Semasa dan Ramah Mesra Bersama Ahli Kelab Pengguna dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Ditanya mengenai pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa GST tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini, Hasan berkata ia adalah hak Dr Mahathir untuk memberikan pandangan tersebut.

“Tun Dr Mahathir mungkin arif hal-hal luar negara tetapi perlu diingat bahawa 170 negara telah melaksanakan GST,” katanya, sambil mengingatkan peniaga agar tidak menipu rakyat untuk mendapat untung yang lebih melalui GST.

Hasan meminta pengguna yang ditipu oleh peniaga supaya membawa kes mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, selain membuat aduan kepada pihaknya untuk membuat siasatan.

Tiada ulasan: