Selasa, 7 April 2015

Graduan universiti swasta lebih ramai menganggur

 
27 peratus graduan universiti swasta terpaksa menunggu 6 bulan sebelum mendapat pekerjaan berbanding universiti awam 24 peratus.


Ong Kian Ming


PETALING JAYA: Satu kajian terbaharu oleh Penang Institute mendapati graduan lulusan universiti swasta lebih ramai menganggur berbanding graduan universiti awam.

Analisis berdasarkan data terbaharu 2013 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan mendapati 27 peratus graduan universiti swasta terpaksa menganggur sehingga enam bulan sebelum mendapat pekerjaan berbanding universiti awam 24 peratus.

Statistik oleh Jabatan Statistik Malaysia bagi 2015 menunjukkan kadar pengangguran di negara ini adalah sekitar 3.1 peratus.

Hasil kajian Penang Institute juga mendapati hanya 13.3 peratus tenaga akademik di universiti swasta memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD), jauh lebih rendah berbanding universiti awam 33.4 peratus.

Pengurus Besar Penang Institute, Ong Kian Ming yang mendedahkan kajian terbaharu itu berkata, hanya 76.2 peratus tenaga akademik di universiti swasta memiliki kelayakan sarjana dan sarjana muda manakala 10.5 peratus mempunyai kelayakan lebih rendah dari itu.

Kian Ming yang juga Ahli Parlimen Serdang berkata, universiti swasta juga menunjukkan prestasi lemah di dalam negara dan peringkat antarbangsa.

Hanya 52 peratus universiti awam mencapai tahap cemerlang berdasarkan 13 kriteria yang ditetapkan oleh kementerian menerusi sistem SETARA berbanding 81 peratus yang dicatatkan universiti awam.

“Hanya 16 peratus universiti swasta mencapai tahap baik manakala satu pertiga universiti swasta ini tidak layak mendapat sebarang status,” katanya.

Di peringkat antarabangsa pula, Kian Ming berkata, universiti swasta tidak mencatatkan pencapaian yang membanggakan apabila hanya 5 universiti swasta tersenarai dalam QS-Asia 2014 di mana Universiti Teknologi Petronas (UTP) disenaraikan kedudukan antara 191-200.

UTP juga menjadi universiti swasta tunggal mencapai taraf 5 bintang mengikut sistem MyRA kerana aktif menjalankan penyelidikan.

Kian Ming berkata, pelajar universiti swasta, kolej universiti dan kolej swasta dalam keadaan tertekan selepas kerajaan mengurangkan pemberian pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 15 peratus berkuatkuasa pada November 2014.

Tiada ulasan: