Selasa, 10 Februari 2015

Tanpa Anwar keadaan mungkin lebih baik

FREE MALAYSIA TODAY


Isu ekonomi seperti harga minyak, kos sara hidup dan juga survival lebih besar dari kes Anwar sendiri. 


Dr Mohd Azizuddin Mohd SaniKUALA LUMPUR: “Ini kita tahu jelas, mungkin akan bagi kesan kepada BN adalah jika Anwar didapati bersalah, yang mana mereka (penyokong Anwar) akan kata sistem kehakiman tidak telus, tiada keadilan dan sebagainya,” kata penganalisis politik, Dr Azizuddin Mohd Sani mengulas kedudukan kesan kes liwat II kepada Barisan Nasional.

Menjelang penentuan keputusan Kes Liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, beliau berkata, Ketua Umum PKR itu dianggap tidak lagi menjadi penentu kepada nasib Pakatan Rakyat PR pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Menurut Dr Azizuddin, Anwar tidak lagi menjadi faktor penentu mengenai perjalanan gabungan pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

“Banyak faktor yang akan menentukan PR menang atau kalah, tak ada Anwar mungkin keadaan akan jadi lebih baik. Sebab rakyat sekarang sudah lebih ‘celik’, khususnya bagi mereka di bandar.

“Isu ekonomi seperti harga minyak, kos sara hidup dan juga survival lebih besar dari kes Anwar sendiri,” katanya, lapor The Rakyat Post.

Menurutnya, kes Anwar ini juga tidak akan memberikan kesan kepada kedudukan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.

Sebaliknya, bagaimana kerajaan yang dipimpin BN ini mampu mengatasi keluhan dan aduan rakyat adalah penentu kepada hala tuju kepimpinan mereka selama 58 tahun sejak merdeka.

Beliau menyatakan, “Sebab apa yang lebih penting dan besar ialah prestasi BN yang menyediakan perkhidmatan buat rakyat.”

“Orang luar bandar mungkin akan ada terkesan sedikit dengan kes ini, tapi tidak bagi mereka yang berada di kawasan bandar, malah orang Cina juga tidak memandang kes Anwar ini sebagai sesuatu yang besar, mereka lebih kepada apa yang kaum mereka dapat,” jelasnya, sambil menambah Anwar hanyalah faktor kecil di dalam PRU14 akan datang.

Tiada ulasan: