Ahad, 22 Februari 2015

Ramanan persoal sokongan pembangkang kepada Presiden MIC

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin pembangkang mengangkat Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel sebagai pejuang kaum India menimbulkan banyak persoalan sedangkan krisis dalaman yang sedang melanda parti itu sendiri masih belum dapat beliau selesaikan.
 
Bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R.Ramanan berkata, sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin pembangkang tampil membela Palanivel kononnya beliau telah banyak berjasa sedangkan belum nampak secara jelas sumbangannya kepada masyarakat India terutama selepas menjawat jawatan Presiden MIC.
 
“Saya tidak faham mengapa tiba-tiba beberapa pemimpin pembangkang bela Palanivel? Sebelum ini, mereka juga yang mengkritik kepimpinan Palanivel. Adakah Palanivel mempunyai hubungan dengan pembangkang sehingga boleh membelanya sedemikian rupa.
 
“Saya juga musykil, apa sebenarnya sumbangan Palanivel kepada masyarakat India sampai pembangkang begitu taksub membelanya? Saya betul-betul tidak faham apa keistimewaan Palanivel sehingga menjadi ‘kegilaan’ pembangkang,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.
 
Ramanan mengulas laporan akhbar Tamil sejak akhir-akhir ini yang kerap menggunakan pemimpin pembangkang untuk membela kepimpinan Palanivel yang kini menjadi bahan kritikan berikutan tindak-tandunknya dalam menyelesaikan krisis MIC.
 
Tambah Ramanan, nasib masyarakat India semakin tidak terbela berikutan sikap acuh tidak acuh Palanivel yang lebih mementingkan agenda peribadi selain lebih banyak menghabiskan masa di luar negara berbanding mendapatkan sokongan masyarakat India.
 
“Sesungguhnya saya tidak faham, mengapa Palanivel masih berdegil untuk menjawat jawatan Presiden mahupun Menteri. Lebih baik beliau letak jawatan dan menghabiskan masa beribadat.
 
“Masyarakat India perlukan seorang pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka, yang boleh membawa perubahan. Barisan Nasional (BN) juga memerlukan seseorang yang mempunyai kredibiliti bagi mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat. Dalam perkara ini, Palanivel telah gagal,” tegasnya.
 
Dalam pada itu, Ramanan turut memberikan contoh sikap Palanivel yang mengecewakan bukan sahaja ahli-ahli MIC malah pemimpin BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
“Baru-baru ini, Palanivel mencetuskan kemarahan dengan ‘sengaja’ tidak hadir dalam pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menyelesaikan krisis MIC yang semakin parah dari hari ke hari.
 
“Apa yang lebih mengecewakan, beliau boleh bertindak sesuka hati ‘ponteng’ perjumpaan itu dengan alasan isterinya sakit. Apakah beliau ini benar-benar layak menjadi pemimpin?,” soal Ramanan.

Tiada ulasan: