Ahad, 8 Februari 2015

NEGARAKU seru semua pihak berdamai

MALAYSIAKINI


 


Penaung gabungan NGO NEGARAKU Datuk S Ambiga merayu kepada semua pemimpin politik agar berhenti bertelagah dan menumpukan isu lebih utama dari politik.

Katanya, pemimpin kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil perlu mengenepikan perbezaan mereka dan menumpukan kepada empat isu utama yang dihadapi negara.

  • Bencana banjir, pembukaan hutan berleluasa dan usaha baik pulih
     
  • Penyelesaian realistik ke atas kelemahan ekonomi
     
  • Ketegangan kaum dan agama
     
  • Penularan jangkitan denggi

“Saya menganggap ini sebagai kebimbangan utama kita. Ada banyak lagi tapi kita mulakan dengan perkara ini,” katanya.

Beliau berucap dalam satu majlis memperingati perdana menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman dan juga sasterawan negara Datuk A Samad Said petang ini.

Bekas presiden Majlis Peguam itu turut mencadangkan agar kerajaan bertolak ansur dalam beberapa perkara sebagai tanda persetujuan, termasuk penangguhan ke atas usaha untuk mengukuhkan Akta Hasutan.

Katanya moratorium itu juga perlu meliputi tuduhan ke atas kes yang sedan berjalan.

Ambiga juga mencadangkan agar moratorium dikenakan ke atas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada 1 April.

Beliau juga menuntut kerajaan bertolak ansur bagi menjamin kebebasan akhbar, selain moratorium ke atas pembalakan dan pembukaan hutan.

NEGARAKU juga menuntut panel siasatan bebas dibentuk bagi meneliti punca krisis alam sekitar.

Langkah berkenaan akan membangkitkan semula keyakinan rakyat ke atas cadangan berkenaan dan membolehkan kesemua pihak bekerjasama dengan lebih berkesan, katanya.

Tiada ulasan: