Isnin, 2 Februari 2015

Marwan: PDRM tunggu laporan rasmi polis Filipina

 
Amerika Syarikat pernah menawarkan ganjaran RM17.5 juta untuk maklumat bagi menangkap atau membunuh Marwan, tawaran masih sah sehingga kini


Zulkifli Khir_polis_300


PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum memperolehi sebarang laporan rasmi polis Filipina mengenai mayat pengganas paling dikehendaki, Zulkifli Khir @ Marwan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Marwan sebelum ini dipercayai dilarikan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) ketika menguasai lokasi sewaktu serangan berlaku di Filipina.

“Kita belum dapat lagi pemberitahuan rasmi daripada pihak Filipina dan masih menunggu. Sehingga itu kita tidak boleh sahkan Marwan telah terbunuh di Filipina,” ujarnya sewaktu ditemui pemberita di Hotel Mariott Putrajaya.

Jelas Khalid lagi, walaupun terdapat pelbagai laporan yang mengatakan bahawa jari dan badan Marwan telah dipotong oleh pemberontak, beliau tidak dapat mengesahkan perkara tersebut kerana masih menunggu laporan dari Filipina.

“Kini kita bergantung kepada polis Filipina. Mengenai badan Marwan, walaupun banyak laporan, tetapi kita masih menunggu laporan rasmi dari polis Filipina,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Marwan dikatakan terbunuh dalam pertempuran dengan polis Filipina Ahad lalu setelah didakwa pernah mengatur perancangan untuk mengancam keselamatan pemimpin Vatican, Pope Francis yang hadir melawat Filipina, baru-baru ini.

Sumber Utusan Malaysia turut mendedahkan, bekas pemimpin Jemaah Islamiah (JI) itu walaupun tidak lagi memberi ancaman terbesar kepada negara-negara di Asia Tenggara namun dikesan menjadi dalang kepada serangan-serangan di Filipina.

Risikan Filipina dikatakan pernah mendapat maklumat berhubung rancangan serangan terhadap pemimpin agama berusia 78 tahun itu dan langkah berjaga-jaga telah diambil pihak berkuasa negara tersebut.

Kerajaan Amerika Syarikat juga pernah menawarkan hadiah ganjaran RM17.5 juta kepada sesiapa yang memberi maklumat untuk menangkap atau membunuh Marwan. Tawaran itu masih lagi sah sehingga kini.

Tiada ulasan: