Isnin, 2 Februari 2015

Kenyataan Ismail Sabri tidak bertanggungjawab – DAP

Menteri cuma ingin mengalihkan tumpuan rakyat jelata terhadap kenaikan harga barangan yang bakal berlaku.


Teo Kok Seong


PETALING JAYA : DAP mengutuk kenyataan Menteri Pertanian dan Insustri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang cuba mengaitkan kenaikan harga barang disebabkan peniaga Cina dan menasihatkan orang Melayu memboikot peniaga Cina.

Ketua DAPSY Malaysia, Teo Kok Seong berkata, kenyataan Ahli Parlimen Bera itu tidak bertanggungjawab, berunsur perkauman dan hasutan yang menyakitkan hati.

“Saya berpendapat bahawa kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuma ingin mengalihkan tumpuan rakyat jelata terhadap kenaikan harga barangan yang bakal berlaku ketika perlaksanaan sistem percukaian GST pada 1 April 2015.

“Selain daripada itu, kenaikan harga barangan yang telah berlaku adalah disebabkan oleh keputusan Kerajaan Pusat dimana beliau merupakan salah seorang anggota di Kabinet untuk memotong subsidi terhadap harga minyak dengan alasan meringankan beban Kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kok Seong yang merupakan Ahli Parlimen Rasah menambah, Kerajaan Pusat telah menaikkan harga petrol sebanyak dua kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu 20 sen pada September 2013 dan 20 sen pada Oktober 2014.

Katanya, siri kenaikan seperti kos pengangkutan dan lain-lain merupakan punca utama kenaikan harga barangan.

“Sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengingatkan kerajaan pusat agar jangan lupa menunaikan janji Barisan Nasional ketika PRU-13 iaitu menangani kos sara hidup rakyat.

“Tetapi bukannya mengalih tumpuan rakyat jelata terhadap masalah kos sara hidup. Jangan pandang rendah terhadap kematangan dan kemampuan rakyat, mereka tahu siapakan yang sebenarnya menyebabkan kos sara hidup meningkat,” katanya.

Tiada ulasan: