Selasa, 3 Februari 2015

Jangan sabotaj Pakatan




Oleh JOHARI M


KEBELAKANGAN ini perdebatan terbuka dan balas-membalas kenyataan semakin menjadi-jadi dalam kalangan pemimpinpemimpin Pakatan Rakyat daripada semua parti dan menjadi berita-berita panas di media berita negara setiap hari.

Perkembangan ini berlaku dan meningkat mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini termasuk berkaitan isu sekitar banjir, dan tidak reda walaupun air bah di Kelantan yang paling teruk dilanda banjir telah surut.

Nampaknya ramai pemimpin dalam partiparti Pakatan Rakyat tidak mampu untuk menyimpan apa yang terbuku di hati dan ingin diluahkan dengan segera kepada media yang sedia menunggu.

Media pula masingmasing mempunyai agenda tersendiri, dan media Umno-BN seperti biasa akan memanipulasi kenyataan-kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Pakatan. Malah ada masanya kenyataan itu sendiri sudah cukup “damaging” dan tidak perlu dimanipulasi atau diperbesarkan.

Malang sekali, pertembungan di media ini sering berlaku pada masa Pakatan sangat perlu merapatkan barisan dan “menghalakan senapang” ke arah pihak musuh Umno-BN.

Pada masa ini, Umno dalam keadaan yang lemah dan pemimpin mereka Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak sedang diserang dari segenap sudut oleh musuh politik dari luar dan dalam parti.

Pada masa yang sama, Pakatan sedang menghadapi kemerosotan keyakinan selepas kempen panjang Umno-BN menimbulkan keraguan terhadap tahaluf siyasi yang dibina sejak selepas pilihan raya 2008 dulu.

Amat penting untuk Pakatan menunjukkan imej dan kemampuan mengurus kerjasama politik ini dengan baik supaya gambaran sebagai alternatif kepada BN dapat ditunjukkan kepada rakyat.

Sepanjang sejarah kerjasama politik pembangkang, biasanya kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum tidak seimbang, dan hal ini menjadi cabaran besar kepada gabungan untuk menguruskan dan memastikan kelangsungan kerjasama.

Dalam keadaan ini, boleh terjadi parti yang kuat berasa terlebih yakin dan kurang menghormati rakan yang kecil, dan boleh terjadi juga kemungkinan parti yang lemah “membuat perangai” sebagai usaha tawarmenawar.

Tetapi wujud juga kemungkinan sabotaj, atas apa sebab yang jelas atau tidak, untuk menamatkan kerjasama dan kemudian dapat mempersalahkan pihak lain, atau ada agenda dengan parti lawan secara rahsia.

Eloklah sekiranya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bertemu mata pada masa yang kritikal ini, mencapai persetujuan seperti menghentikan kritik-mengkritik dan menumpukan pada usaha mengukuhkan pakatan.

Tiada ulasan: