Rabu, 19 November 2014

[VIDEO] Isu 1MBD: Ahmad Maslan Minta Maaf Kelirukan Dewan Tanpa Niat

KELAB GREENBOC


 
Ahmad Maslan mohon maaf kepada Dewan Rakyat berhubung 1MDB

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini membuat permohonan maaf kepada sidang Dewan Rakyat kerana kenyataan yang dikeluarkannya pada 6 November lalu berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kekurangan enam perkataan.

Ekoran kenyataan yang dikeluarkan beliau ketika itu, Ahli Parlimen Pandan (PKR) Rafizi Ramli kemudiannya mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membawa Ahmad kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa beliau mengelirukan Dewan.

"Saya dengan ini memohon maaf kepada Dewan dan menambah enam perkataan itu 'tidak ada surat jaminan lain semua'," kata Ahmad ketika membetulkan kenyataan asalnya.

Hansard Parlimen pada 6 November menunjukkan Ahmad hanya menyebut "tidak ada surat apa semua", apabila menjawab pertanyaan daripada Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua berhubung sama ada wujudnya surat sokongan daripada kerajaan untuk hutang 1MDB.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya membuat keputusan Ahmad tidak perlu dihadapkan ke jawatankuasa berkenaan memandangkan ahli Parlimen Pontian itu tidak berniat untuk mengelirukan Dewan.

"Mengambil kira semua ini, tidak payah dibahas dan dirujuk mana-mana kerana beliau tidak berniat sama sekali mengelirukan Dewan.

"Saya harap perkara ini selesai kerana tiada niat mengelirukan Dewan," kata Pandikar ketika membuat keputusan tersebut.

Rafizi dan Ahmad sebelum itu diberi peluang mengemukakan hujah masing-masing berhubung perkara itu di dalam Dewan Rakyat.

"Saya menerima kekhilafan atas tertinggalnya enam perkataan tersebut yang menyebabkan salah faham. Saya tidak ada sebarang niat untuk mengelirukan Dewan," kata Ahmad.

"Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah dan yang lemah itu daripada hambaNya."

Kenyataan daripada Ahmad itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Shah Alam (PAS) Khalid Samad, yang turut menerima keputusan Pandikar.

"Mengelirukan tanpa niat sama seperti membunuh tanpa niat," kata Mahfuz.

"Bagi saya, sekiranya kesilapan itu berlaku sekali, beliau tidak sebut apa yang sepatutnya disebut, saya boleh terima. tetapi bagi diri saya, sangsi dengan niat sebenar timbalan menteri," kata Khalid.

Rafizi pada sidang medianya kemudian merakamkan penghargaan kepada Pandikar kerana memberi peluang untuk isu berkennaan dibincangkan di dalam Dewan Rakyat.

"Beliau (Ahmad) minta maaf pun saya merasakan kemenangan besar bagi rakyat. Menteri diharapkan berhati-hati ini selepas ini ketika memberikan kenyataan di Parlimen," kata Rafizi.- TMI


LIHAT VIDEO DI SINI


ULASAN GB

Selama ini jika kesalahan itu dilakukan oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat walau betapa kecil sekalipun, speaker begitu pantas membawa mereka ke JK Hak dan Kebebasan.

Berbanding apabila penipuan itu dilakukan oleh wakil kerajaan seperti kes Ahmad Maslan di atas. Minta maaf sahaja, beres.

Tiada ulasan: