Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid Ketua Pembangkang Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid
 
 
GEORGETOWN - Ketua Pembangkang Dun mencadangkan agar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng digantung kerja kerana melanggar Peraturan 15 Aturan Urusan Mesyuarat di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dun Pulau Pinang.

Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) berkata, Peraturan 15 (1) menetapkan perkara kecil (h) iaitu soalan yang sudah dinyatakan terlebih dahulu dan jawapan kepadanya hendaklah diselesaikan sebelum perkara kecil (j) iaitu mengemukakan rang undang-undang kerajaan dipertimbangkan.

Beliau berkata, Guan Eng gagal membentangkan jawapan kepada soalan bertulis seperti yang ditetapkan dalam Peraturan 15(h).

"Rang undang-undang perbekalan 2015 (bajet) pula didahulukan sebelum jawapan kepada soalan bertulis dibentangkan seperti yang dikehendaki dibawah Peraturan 15(h).

"Rang undang-undang kerajaan bawah Peraturan 15(j) dibentangkan sejurus selepas jawapan lisan dan ini jelas melanggar Peraturan 15," katanya ketika membentangkan usul itu pada permulaan sidang Dun di sini, hari ini.

Menurutnya, Perkara 49 (1) menyebut adalah salah pada peraturan bagi mendahului aturan mesyuarat dengan (membuat usul atau mencadangkan sesuatu pindaan mengenai isi kandungan sesebuah rang undang-undang atau mana-mana susunan urusan mesyuarat lain yang ditetapkan bagi ditimbangkan kemudiannya.

 "Aturan mesyuarat adalah satu peraturan penting bagi memastikan dewan ini bersidang dengan lancar dan licin bawah prinsip demokrasi berparlimen," katanya.

Jahara berkata, jika peraturan yang ditetapkan Dun boleh dipinda sesuka hati tanpa mendapat kelulusan atau tidak dipatuhi, bagaimana kerajaan negeri boleh memastikan kewibaannya dalam melaksanakan undang-undang yang diluluskan dengan kuasa dewan ini dipatuhi oleh masyarakat.

"Tidak pernah dalam sejarah Dun sejak zaman Tan Sri Wong Pow Nee, Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Peraturan 15 ini dilanggar.

"Mereka akan membentangkan jawapan kepada soalan bertulis sebaik sahaja selesai sesi soal jawab tiga jam.  Peraturan 15 dipatuhi dengan menghormati peraturan tersebut oleh kesemua ketua menteri BN," katanya.

Beliau meminta perkara itu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan kewibawaan Dun dalam memperundangkan undang-undang melalui pematuhan aturan mesyuarat yang ditetapkan.

"Jika perkara ini tidak diambil serius, kewibawaan Dun memperundangkan undang-undang dengan kuasanya akan tercabar " katanya.

Bagaimanapun, Speaker Datuk Law Choo Kiang menolak usul itu dengan alasan semua jawapan soalan bertulis diserahkan pagi tadi.