Rabu, 19 November 2014

TI-M harap S'wak tahan dalang kes balak

NALAYSIAKINI


 


NGO antirasuah, Transparency International-Malaysia (TI-M) berharap usaha kerajaan Sarawak untuk membanteras rasuah dalam industri pembalakan akan disusuli dengan tindakan konkrit.

Badan itu berharap, kerajaan negeri akan tindakan termasuk penahanan dalang yang terlibat dengan pembalakan haram.

"Dengan pandangan tegas dan visi ketua menteri mahu mewarta lebih banyak kawasan sebagai taman negara, TI-M jangka Jabatan Perhutanan Negeri bersungguh-sungguh menahan dalang yang terlibat dengan pembalakan haram khususnya di Taman Negara Maludam dan Taman Negara Bukit Tiban.

"Peguam besar negeri turut diperlukan untuk mengesyor tindakan undang-undang yang sepatutnya terhadap pelaku ini sebagai merealisasikan permintaan ketua menteri bagi melihat hasil konkrit memerangi pembalak haram," kenyataan NGO itu dipetik.

Badan itu turut menyanjung "ikrar integriti korporat" yang ditandatangani enam syarikat pembalakan besar di negeri dan juga kerajaan negeri untuk mewarta lebih banyak kawasan hutan sebagai taman negara.

TI-M itu menyifatkan tindakan ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai langkah mempromosi ketelusan dan tatakelola kerajaan yang baik.

Sehingga kini, kata NGO itu, terdapat seluas 800,000 hektar yang diwartakan sebagai taman negara dalam 37 lokasi di seluruh negeri itu dan pada Jun tahun depan, Adenan mahu melihat sekurang-sekurangnya satu juta hektar diwarta sebagai taman negara.

NGO itu berkata pihaknya turut menyokong tindakan kerajaan negeri mahu menamatkan pemberian lesen pembalakan baru sekalipun daripada syarikat kecil kerana tepat pada masanya untuk mengelak penerokaan hutan berleluasa di negeri itu.

Menurut TI-M, badan itu menyokong penuh jika Adenan mahu "menunaikan apa yang dijanjikannya" dalam menangani aktiviti pembalakan haram dan menghapuskan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Tiada ulasan: