Sabtu, 1 November 2014

Rayuan dua Adun, Majlis Syura PAS putus esok

HARAKAHDAILY |


KUALA LUMPUR: Rayuan terhadap penggantungan keahlian Adun PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) akan diputuskan Majlis Syura Ulamak PAS yang akan bermesyuarat esok.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, beliau telah menerima surat rayuan yang dikemukakan kedua-dua adun tersebut Isnin lalu.

"Mesyuarat Majlis Syura pada 2 November ini (esok) akan menentukan sama ada rayuan yang dikemukakan oleh mereka akan diterima atau sebaliknya," katanya dipetik sebuah portal.

Beliau memaklumkan mesyuarat yang akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut esok dijadual dipengerusikan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jawatankuasa PAS pusat pada 11 Oktober lalu membuat keputusan menggantung keahliaan Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.

Ianya ekoran tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor yang dilihat bertentangan dengan pendirian Majlis Syura Ulamak dan Presiden PAS.

Sebelum keputusan penggantungan itu dibuat, kedua-dua mereka telah dipanggil membuat penjelasan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Mengikut perlembagaan parti, kedua-dua Adun berkenaan bagaimanapun diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan kepada Majlis Syura Ulamak. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: