Selasa, 4 November 2014

Presiden PAS dirayu hadir mesyuarat pimpinan PR

pix for ubah kepada pakatan LUAR PAGE

Roketkini.com


PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dirayu supaya hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat demi memastikan pakatan politik itu boleh benar-benar berfungsi dengan baik.

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, gesaan tersebut perlu dibuat meski secara terbuka kerana Pakatan Rakyat mesti jujur dan mematuhi komitmen yang telah dibuat kepada parti-parti komponen dan juga rakyat Malaysia.

Katanya semua pihak mesti memenuhi janji dan komitmen masing-masing demi mendapatkan kepercayaan dan mandat daripada rakyat.

“Sekiranya kita tidak boleh menepati janji dan komitmen, bagaimana kita boleh berharap rakyat akan percaya kepada kita,” ujarnya ketika berucap di majlis makan malam DAP Petaling Jaya di Dewan Sivik MBPJ semalam.

Beliau membuat gesaan tersebut secara terbuka kepada Presiden PAS tersebut yang sejak berlangsungnya krisis pentadbiran Selangor tampak tidak komunikatif dan membuat keputusan secara bersendirian, membelakangi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS.

“Setiap kali berlangsung mesyuarat Majlis Pimpinan, wakil-wakil PAS akhirnya kerugian kerana mereka bukanlah yang akan membuat keputusan,”

“Jika itulah sistemnya, beliau mesti menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan supaya sesuatu keputusan boleh dicapai,” tambah Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau selagi Presiden PAS itu menjauhi mesyuarat pimpinan Pakatan, adalah sukar bagi Pakatan Rakyat untuk berfungsi memandangkan kesemua keputusan memerlukan konsensus ketiga-tiga parti.

Pakatan Rakyat katanya tidak boleh berfungsi secara bersendirian. Tidak ada parti dominan dalam Pakatan sepertimana Umno dominan di dalam Barisan Nasional.

Ahad lalu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dilaporkan berkata DAP tidak takut berjuang bersendirian jika perlu, kerana DAP tetap teguh berpegang kepada prinsip yang telah diperjuangkan sejak tahun 1966.

“Apa yang penting, bila kita bercakap perlu ‘cakap serupa bikin’ dan semua parti perlu ada amalan yang sama,” katanya ketika ditemui media selepas Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: