Isnin, 24 November 2014

Pendapatan RM1,500 garis kemiskinan Selangor

 
Sebagai negeri termaju, Selangor tidak boleh menggunakan kriteria paras kemiskinan yang disediakan Putrajaya

.
azmin aliSHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyatakan dalam usaha untuk mencapai keadilan sosial dan pengagihan yang adil, kemiskinan perlu dibasmi di negeri Selangor.

Menurutnya, di bawah Strategi 1, bagi Teras Belanjawan 2015, iaitu membesarkan lapisan kelas menengah melalui program HIJRAH, jika menggunakan ukuran kemiskinan tegar yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu pendapatan isu rumah di bawah RM520, maka Selangor telah bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.

Namun, pada kadar Purata Garis Kemiskinan Kebangsaan RM830, isi rumah di negeri Selangor masih mencatatkan insiden kemiskinan sebanyak 0.4 peratus.

“Sebagai negeri termaju, Selangor tidak boleh menggunakan kriteria paras kemiskinan yang disediakan oleh Putrajaya. Oleh itu, kerajaan negeri telah menetapkan paras yang realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500 sebagai garis kemiskinan di negeri Selangor,” katanya sewaktu berucap membentangkan Belanjawan Selangor 2015 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan kriteria itu, 30 peratus daripada penduduk Selangor berada di bawah garis kemiskinan.

“Oleh yang demikian, kerajaan perlu melipat gandakan usaha memartabatkan kelompok ini supaya mereka diupayakan untuk keluar dari kemiskinan. Maka, dana bagi mereka menceburkan diri dalam bidang keusahawanan perlu ditingkatkan,” jelasnya.

Tambah Azmin, Kerajaan Negeri akan memperkasakan pembiayaan melalui Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel) dan Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR).

Menurut beliau, kerajaan negeri akan menaikkan siling peruntukkan untuk kedua-dua dana tersebut kepada RM100 juta berbanding hanya RM70 juta sebelum ini. SkimSel ditingkatkan kepada RM60 juta manakala, MiMBAR dinaikkan kepada RM40 juta.

“Semua program ini akan disepadukan di bawah inisiatif HIJRAH untuk melonjakkan golongan miskin ini berhijrah memasuki kumpulan berpendapatan menengah,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: